• Dunia rugi AS$600 bilion akibat jenayah siber

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+


    WASHINGTON - Kerugian akibat jenayah siber mencecah AS$600 bilion (RM2.3 trilion) setahun di seluruh dunia, didorong oleh penggodam yang semakin canggih, pertumbuhan pasaran jenayah dan mata wang kripto, kata beberapa penyelidik hari ini.

    Satu laporan yang diterbitkan oleh firma keselamatan siber, McAfee bersama Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, mendapati kecurian harta intelek mewakili satu perempat daripada keseluruhan kerugian akibat jenayah siber dalam tahun 2017.

    Rusia, Korea Utara dan Iran merupakan sumber penggodam utama yang menyasarkan institusi kewangan, manakala China paling aktif dalam pengintipan siber, demikian menurut laporan itu.

    Pasukan penyelidik berkenaan berkata, virus peras ugut, ransomware merupakan komponen jenayah siber paling pesat berkembang, dibantu oleh banyaknya pasaran yang menawarkan perkhidmatan penggodaman.

    Laporan penyelidikan global itu disiarkan beberapa hari selepas White House menerbitkan satu laporan menunjukkan bahawa serangan siber mengakibatkan Amerika Syarikat kerugian antara AS$57 bilion (RM223 bilion) dan AS$109 (RM427 bilion) pada 2016. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Dunia rugi AS$600 bilion akibat jenayah siber "