• Draf Undng-Undang Bendung Berita Palsu Siap

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    SHAH ALAM: Draf undang-undang baharu bagi membendung berita palsu sudah siap dirangka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Beliau berkata, jawatankuasa khas yang dibentuk untuk mengkaji undang-undang baharu itu akan bermesyuarat kali kedua esok bagi membincangkan beberapa perkara teknikal, sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

    "Pandangan Jabatan Peguam Negara, pakar dari universiti dan agensi berkaitan amat penting untuk memperkemaskan undang-undang baharu ini.

    "Akta sedia ada seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diguna pakai sejak 30 tahun lalu, jelas tidak lagi releven.

    "Selain itu, undang-undang baharu ini perlu dibacakan bersama akta sedia ada seperti Akta Percetakan, Akta Komputer dan Akta Multimedia. Justeru, terdapat beberapa perkara teknikal perlu diperkemaskan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Akaun Amanah Bantuan Guaman di Jabatan Guaman Selangor di sini, hari ini.

    Azalina berkata, kerajaan juga berharap undang-undang baharu itu boleh dibawa ke Parlimen pada persidangan Mac depan.

    Beliau juga menolak dakwaan pihak tertentu bahawa undang-undang baharu itu untuk melindungi ahli politik semata-mata, sebaliknya ia menyeluruh membabitkan semua golongan meliputi anak seni, individu dan institusi.

    "Bukan ahli politik sahaja kena tempias berita palsu, tetapi artis pun kena, rakyat biasa pun kena. Perubahan dunia menyebabkan kita tiada tapisan lagi," katanya.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu dalam media sosial berikutan kesannya yang membimbangkan dan mengancam kestabilan politik serta ketenteraman awam.

    Berikutan itu, sebuah jawatankuasa khas membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, ditubuhkan.

    Perdana Menteri turut bersetuju jawatankuasa itu disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen untuk memastikan usaha kerajaan menangani isu berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak serta melalui proses perundingan semua pihak berkepentingan. - BHOnline

    Foto: Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Draf Undng-Undang Bendung Berita Palsu Siap "