• Dicabul Dalam Bas Ekspres

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+
    JOHOR BAHRU: Seorang jurusolek, I Riya, mendakwa dicabul lelaki Pakistan di dalam bas ekspres, ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Larkin, di sini.

    Riya, 23, berkata kejadian berlaku Khamis lalu ketika beliau bersama ibu dan adik lelakinya menaiki bas ekspres berkenaan.

    Beliau berkata, apabila bas tiba di laluan Tampoi, di sini, kira-kira jam 7 pagi, seorang lelaki warga Pakistan yang duduk di belakang tempat duduknya menyentuh pinggangnya.

    Riya berkata, beliau memaklumkan perkara itu kepada adik lelakinya yang berusia 21 tahun dan memintanya supaya memerhatikan pergerakan lelaki itu.

    "Lelaki itu berpura-pura tidur ketika adik saya menoleh ke belakang. Apabila tiba di hentian bas di Larkin, ahli keluarga saya menegur lelaki berkenaan atas perbuatannya, namun lelaki berkenaan menafikannya," katanya.

    Riya berkata, beliau dan adiknya kemudian membuat aduan di pondok polis di hentian bas berkenaan menyebabkan lelaki itu ditahan.

    "Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Larkin, pada hari sama. Saya berharap kejadian seumpama ini tidak menimpa penumpang bas ekspres lain kerana ia bukan saja menjejaskan keselesaan, malah menimbulkan kebimbangan," katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, lelaki warga Pakistan berkenaan yang berusia 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

    "Mangsa menyatakan suspek menyentuhnya menerusi celah ruang tempat duduk mangsa. Suspek ditahan oleh anggota polis bantuan dan siasatan sedang dijalankan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Dicabul Dalam Bas Ekspres "