• Denggi: 32 Kes Di Lahad Datu

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+


    LAHAD DATU: Kesan pencemaran daripada pembuangan sampah sarap yang tidak diselenggara dengan baik, menjadi antara faktor kes denggi di daerah ini.

    Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Lahad Datu, Stanley Chin Yat Min, berkata faktor lain ialah kurangnya kesedaran masyarakat untuk memastikan persekitaran bebas pembiakan nyamuk aedes.

    Sejak awal tahun ini, sebanyak 32 kes demam denggi dilaporkan di Lahad Datu.

    Antara kawasan terbabit ialah Jalan Dam Kimbell, Kampung Unta, Silam Camp, Pangsapuri Mutiara Kasih, Kampung Bakau Baru, Kampung Cocos Batu 6 dan Jalan Bakawali.

    Pada masa sama, berlaku peningkatan kes di beberapa kawasan seperti Kampung Sabah Baru, Kampung Bugis Batu 1, Kampung Desa Bajau, Felda Sahabat 9 dan Kampung Silam.

    "Pejabat Kesihatan Kawasan Lahad Datu sedang giat menjalankan aktiviti pemantauan, pemeriksaan dan kawalan nyamuk aedes di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi di sini.

    Sehubungan itu, Stanley meminta masyarakat setempat, terutama di kawasan berlaku kes denggi, supaya memberi kerjasama kepada petugas Jabatan Kesihatan untuk melakukan pemeriksaan pembiakan nyamuk aedes di dalam dan luar rumah, selain melaksanakan aktiviti kawalan seperti semburan kabus.

    "Orang ramai juga diingatkan segera ke klinik atau hospital berhampiran sekiranya mengalami tanda awal denggi seperti demam.

    "Selain itu, kita meminta kerjasama penduduk supaya kerap bergotong-royong di kawasan masing-masing bagi memastikan persekitaran bebas aedes," katanya.

    Beliau turut menasihati masyarakat di daerah ini agar meningkatkan tahap kebersihan di kawasan rumah dan banyak minum air masak bagi mengelakkan jangkitan penyakit berkenaan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Denggi: 32 Kes Di Lahad Datu "