• Delegasi AS 'Lari' Diserbu Penunjuk Perasaan Palestin

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+
    RAMALLAH: Delegasi diplomat Amerika Syarikat (AS) terpaksa memendekkan acara di sebuah bandar Palestin di Baitulaham hari ini selepas penunjuk perasaan menyerbu mesyuarat yang mereka hadiri.

    Penunjuk perasaan berang, yang membantah pengiktirafan kontroversi Presiden Donald Trump ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, turut membaling tomato ke arah kereta delegasi ketika mereka beredar, satu video dihantar dalam talian menunjukkan.

    Ketua Dewan Perdagangan Baitulaham, Samir Hazboun berkata, pihaknya sedang mengadakan sesi latihan untuk ahli perniagaan tempatan mengenai perdagangan digital bersama pakar AS dan delegasi dari konsulat AS di Baitulmaqdis.

    "Kami terkejut apabila sejumlah penunjuk perasaan berang mengadakan bantahan luar biasa, menyebabkan kami terpaksa menamatkan kursus dan jurulatih AS segera beredar bersama delegasi konsulat," katanya.

    Video dalam talian menunjukkan sejumlah penunjuk perasaan memasuki bilik latihan melaungkan bantahan sambil memegang sepanduk menentang keputusan Trump.

    Sepanduk yang dipegang bertulis 'Zionisme > Nazisme > Fasisme.'

    Delegasi AS bingkas beredar dengan penunjuk perasaan membaling tomato ke arah kenderaan dinaiki mereka sementara seorang lelaki menendang kereta itu.

    Pengiktirafan Trump menyebabkan kepimpinan Palestin membekukan hubungan dengan pentadbiran AS menjurus Presiden AS itu menahan puluhan juta dolar bantuan. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Delegasi AS 'Lari' Diserbu Penunjuk Perasaan Palestin "