• Datuk Ditahan Tipu Projek RM6 Juta

    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+
    SUBANG JAYA: Seorang individu bergelar Datuk ditahan manakala seorang lagi diburu polis membabitkan penipuan Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia dianggar bernilai RM6 juta yang ditawarkan sebuah koperasi pembangunan hartanah.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, berkata suspek ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya kira-kira jam 3 petang, Khamis lalu.

    Katanya, suspek direman sehingga esok manakala seorang lagi individu bergelar Datuk belum dapat dikesan.

    "Kita menerima satu aduan yang mana mangsa mendakwa kerugian RM1.2 juta selepas membuat bayaran bon prestasi Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia di Bukit Mambai, Johor pada Januari 2016.

    "Selepas enam bulan membuat pembayaran, mangsa dimaklumkan projek itu dibatalkan dan diberi surat projek sama di Bukit Katil, Melaka, namun suspek terus gagal dikesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Selepas hampir setahun menunggu dan gagal berhubung dengan wakil koperasi itu, Mohamad Azlin berkata, mangsa menarik diri daripada projek berkenaan serta dijanjikan pemulangan semula wang yang sehingga kini belum diterima.

    Katanya, sebanyak 12 kertas siasatan dibuka ke atas dua suspek berkenaan dan pendakwaan akan dilakukan secepat mungkin.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Datuk Ditahan Tipu Projek RM6 Juta "