• Dasar Luar Bebas Konfrontasi, Bawa Faedah Menyeluruh - Najib

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Kepemimpinan kerajaan hari ini, mengamalkan pendekatan berbeza dalam membina hubungan dengan negara luar, berbeza sikap konfrontasi bekas pemimpin terdahulu, tegas Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata, menerusi langkah itu, pentadbirannya berusaha menjalinkan kerjasama baharu dengan negara luar khususnya di rantau ini, sambil memperkukuhkan hubungan sedia ada demi kesejahteraan hidup rakyat.

    "Adalah benar, sebelum ini Malaysia ditadbir oleh bekas pemimpin yang memiliki dasar luar yang konfrontatif dan bertindak atas dasar kemarahan, selain tidak mampu melupakan kekecewaan lampau.

    "Bagaimanapun, kerajaan pada hari ini berusaha membina hubungan baik dengan negara serantau demi kesejahteraan hidup rakyat," katanya ketika berucap di Simposium Pasaran Modal Dunia 2018 di sini, hari ini.

    Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata dasar luar yang menjadi amalan kepemimpinannya, membantu Malaysia dan Singapura mencapai situasi menang-menang dalam pelbagai aspek kerjasama.

    Katanya, itu termasuk perjanjian dalam pembangunan ke atas tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura, yang turut membawa kepada persetujuan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di antara dua ibu negara yang mampu mengurangkan tempoh perjalanan kepada 90 minit.

    "Malah Malaysia kini menjalinkan kerjasama erat dengan Singapura dalam pelbagai projek daripada rangkaian perhubungan seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, kepada pembangunan hartanah seperti Marina One, yang dibangunkan secara bersama di antara Khazanah Nasional dan Temasek Holdings dengan nilai kasar pembangunan SGD 11 bilion (RM32.57 bilion)," katanya.

    Perdana Menteri berkata, di peringkat domestik, kerajaan juga memastikan kapitalisme, perdagangan dan ekonomi bersesuaian dengan matlamat untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

    "Kerajaan saya mengenal pasti bahawa rakyat kini hidup dalam era baharu, kroni kapitalisme pada zaman dahulu, hanya kekal pada zaman itu.

    "Kini, kami memperbaharui fokus terhadap tadbir urus korporat yang digabungkan dengan pengawasan ekonomi yang kukuh," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Dasar Luar Bebas Konfrontasi, Bawa Faedah Menyeluruh - Najib "