• Cukai Naik, Harga Rokok Singapura Termahal Dunia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+

    SINGAPURA – Penduduk sekitar Johor di negara jirannya, Malaysia bakal menyaksikan kebanjiran ramai perokok tegar dari Singapura untuk melepaskan ‘gian’ hobi merokok mereka selepas ini.

    Ia susulan langkah tegas pemerintah republik tersebut mula mengenakan kenaikan cukai tembakau sebanyak 10 peratus bagi mengurangkan kadar penggunaan rokok dalam kalangan rakyatnya sendiri bermula semalam.

    Berita buruk berkenaan diumumkan sendiri oleh Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Keat dalam kenyataan pembentangan Belanjawan 2018 di Parlimen pada Isnin sekali gus mengejutkan ramai pencinta rokok tempatan.

    Beliau menjelaskan bahawa cukai tembakau lebih tinggi sudah dilaksanakan bagi semua produk tembakau berkuat kuasa pada 19 Februari lalu yang secara tidak langsung menyebabkan perokok republik itu tidak bersedia langsung.

    Menurut notis laman sesawang rasmi Kastam Singapura, pelbagai jenis cerut sebelum itu hanya dikenakan cukai sebanyak S$388 (RM1,148) bagi setiap kilogram. Ia sudah pun dinaikkan kepada S$427 (RM1,263) mulai hari ini.

    Cukai bagi segala jenis produk rokok yang mengandungi bahan tembakau dan rokok dengan gantian tembakau juga dinaikkan kepada hampir 43 sen (kira-kira RM1.30) bagi setiap gram untuk setiap batang rokok dibungkuskan.

    Ini bermakna harga sekotak standard mengandungi 20 batang rokok terpaksa dijual lebih S$13 (RM38) tidak termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tujuh peratus yang juga akan naik kepada sembilan peratus.

    Untuk rekod, pada ketika ini harga rokok di London, Britain dan New York, Amerika Syarikat dianggap paling mahal di dunia iaitu masing-masing 10.30 pound British (RM55.80) dan AS$13.67 (RM53.40) bagi setiap kotak 20 batang.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kenaikan sebanyak 10 peratus pada harga jualan runcit rokok boleh menyebabkan penurunan sebanyak empat peratus dalam permintaan di negara yang berpendapatan tinggi.

    Namun kadar kemerosotan tersebut boleh mencecah sekitar lima peratus dalam permintaan bagi perokok tegar di negara yang dikategorikan sebagai berpendapatan rendah dan pertengahan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Cukai Naik, Harga Rokok Singapura Termahal Dunia "