• CUEPACS Gesa GST Dikecuali Bagi Rumah Pertama

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+

    KOTA BHARU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas pembelian rumah pertama oleh penjawat awam.

    Presidennya Datuk Azih Muda berkata menerusi kaedah itu, ia dapat mengurangkan caj terhadap bahan binaan rumah serta kos upah yang dikenakan terhadap pembinaan kediaman.

    “Pihak kami turut berharap kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik berharga kurang daripada RM150,000 serta pengecualian GST terhadap bahan binaan rumah pertama seperti batu-bata, simen, paku dan sebagainya agar penjawat awam dan rakyat dapat membina kehidupan di kediaman sendiri.

    “Walaupun wujudnya kemudahan rumah seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tetapi kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) masih tidak mampu untuk memiliki rumah,

    Beliau berkata demikian pada Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kelantan di sini, hari ini.

    Hadir samaTimbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, Pengarah Unit Khas TN50, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk V. Valluvan Veloo dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali.

    Dalam pada itu, Azih turut menggesa kerajaan mengkaji semula kadar cukai pintu terutama di Putrajaya yang dikatakan agak tinggi.

    Beliau berkata pihaknya berharap ia dapat dikembalikan kepada kadar yang asal sekaligus dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung penjawat awam. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " CUEPACS Gesa GST Dikecuali Bagi Rumah Pertama "