• China Tidak Menipu Malaysia

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+


    PETALING JAYA – Syarikat dari China tidak menipu Malaysia dan kehadiran mereka di bumi Malaysia adalah bermotifkan perniagaan dan pelaburan semata-mata.

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga percaya bahawa Malaysia akan memperoleh manfaat melalui pelaburan dari China.

    “Walaupun mereka membeli tanah di Malaysia dan menjadi tuan tanah, tetapi mereka tidak boleh membawa balik tanah Malaysia ke China.

    “Mereka juga tidak boleh menempatkan tentera di tanah tersebut dan seterusnya menakluk tanah Malaysia,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.

    Johari turut menegaskan bahawa China telah menjadi entiti ekonomi kedua terbesar selepas Amerika Syarikat.

    Jelasnya, Malaysia akan mengalami kerugian jika tidak bekerjasama dengan pelabur China yang telah pun melabur secara besar-besaran di negara Asia lain seperti Vietnam, Laos, Thailand dan Indonesia.

    Katanya, isu kedatangan pelabur China telah dipolitikkan sehingga mewujudkan pertikaian khususnya dalam kalangan kaum Melayu yang konservatif.

    “Hakikatnya Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat juga melabur di Malaysia, tetapi tidak menjadi isu pun.

    ” Pada 1990-an, kami menerima pelaburan Jepun dan sebelum itu, negara Eropah seperti United Kingdom dan Jerman melabur secara agak besar juga,” katanya. – MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " China Tidak Menipu Malaysia "