• China, Jepun Sah Bidaan HSR KL-S'pura

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: China dan Jepun setakat ini mengesahkan penyertaan kedua-dua negara terbabit dalam bidaan tender Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Beliau berkata, bidaan tender antarabangsa bagi projek HSR sejauh 350 kilometer (km) itu akan ditutup pada 29 Jun 2018.

    "Sehingga tarikh itu, baru kita boleh menyatakan jumlah pembida.

    "Buat masa ini, saya cuma boleh memberitahu China dan Jepun mengesahkan secara terbuka mengenai penyertaan mereka dalam tender ini," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Pemadanan Perniagaan PKS Malaysia-China yang dirasmikan Duta China ke Malaysia, Bai Tian, di sini, hari ini.

    Hadir sama, Presiden Persatuan Perusahaan China Malaysia (CENAM), Wang Hong Wei, yang juga Ketua Pegawai Operasi Bank of China di Malaysia; Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Tan Sri Ter Leong Yap; Setiausaha Agung ACCIM, Datuk Low Kian Chian dan Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS), Datuk Michael Kang.

    Pada 20 Disember 2017, MyHSR Corp Sdn Bhd Malaysia dan HSR Private Ltd Singapura mengumumkan bahawa mereka akan mula menerima bidaan untuk mereka bentuk, membina, membiayai, mengawal operasi serta menguruskan aset kereta api terbabit.

    Syarikat yang ingin membida untuk tender terbabit perlu menghantar cadangan kepada MyHSR Corp, unit di bawah Kementerian Kewangan yang diberi tanggungjawab untuk memantau projek berkenaan.

    Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, sebelum ini berkata projek itu dijangka menelan kos antara RM50 bilion hingga RM60 bilion.

    MyHSR Corp Malaysia dan HSR Singapura berkata, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk memilih pembida yang layak menjelang akhir 2018.

    Ditanya sama ada terdapat kontraktor tempatan yang mengemukakan bidaan untuk menyertai tender HSR itu, Tiong Lai berkata, beliau tidak mengetahuinya dan meminta supaya menunggu selepas bidaan tender ditutup pada 29 Jun 2018.

    Projek itu dijangka siap menjelang akhir 2026, HSR KL-Singapura akan mempunyai kelajuan maksimum 320 kilometer sejam (km/j).

    Ia sekali gus mengurangkan tempoh perjalanan dari ibu negara kedua-dua negara terbabit dengan mencatatkan tempoh perjalanan hanya selama 90 minit berbanding lima jam memandu dalam keadaan trafik ringan.

    HSR sejauh 350 kilometer itu akan menghubungkan Bandar Malaysia ke Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sebelum berakhir di Jurong East di Singapura menerusi jambatan di Selat Johor.

    Pada Disember 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Singapura, Lee Hsien Loong memeterai perjanjian yang memperincikan keperluan undang-undang berhubung pembinaan HSR terbabit. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " China, Jepun Sah Bidaan HSR KL-S'pura "