• Bukti Versatiliti, Hafiz Ingin Cuba Genre Islamik

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 25 February 2018
    A- A+

    HARUS diakui, populariti penyanyi, Hafiz Suip sudah tidak seperti dahulu, malah Hafiz juga pernah mengeluarkan kenyataan mengakui akan perkara tersebut.
    Kemunculan penyanyi-penyanyi baru yang mewarna industri seni suara negara sedikit sebanyak menyumbang kepada perkara tersebut.

    Hafiz, ketika zaman kegemilangannya pernah merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak dua kali menerusi lagu Awan Nano dan Bahagiamu Deritaku selain turut memenangi anugerah vokal terbaik beberapa kali dalam pertandingan itu.

    Kini, Hafiz yang akan menginjak umur 28 tahun pada 27 Februari ini, memilih untuk mencuba genre Islamik dalam single terbaharunya tidak lama lagi.

    Jelasnya, keputusan itu diambil bagi mengimbangi kerjaya seninya agar tidak hanya tertumpu kepada muzik kontemporari zaman kini.

    Penyanyi berbakat besar itu berkata, dia bukanlah bertindak meninggalkan terus muzik yang sering dibawanya sebelum ini, namun muzik bertema kerohanian ini dilakukan Hafiz sebagai salah satu ‘saham akhirat’ untuknya.

    “Saya masih lagi belajar dan ia juga bukan bererti saya beralih terus daripada lagu balada yang biasa dibawakan selama ini.

    “Cuma, hati saya terdetik nak buat sesuatu untuk saham akhirat di samping mendidik peminat,” katanya memetik laporan BH Online.

    Tambah Hafiz, sebagai penyanyi, dia mempunyai platform untuk berbuat demikian sambil turut menyatakan minatnya terhadap konsep lagu yang dinyanyikan Lah Ahmad dan Maher Zain.

    Ujarnya, dia akan cuba menerapkan pendekatan yang dibawa oleh dua penyanyi yang popular dengan lagu berkonsep ketuhanan itu dalam single terbaharunya kelak.

    Hafiz yang ditemui pada majlis cukur jambul anaknya, Muhammadh Riyadh Zafri di hotel Dorsett Grand, Subang Jaya, Selangor, semalam mengesahkan bahawa dia kini tidak terikat dengan mana-mana syarikat pengurusan.

    Menurut Hafiz, dia kini bebas untuk menentukan sendiri hala tuju dan genre lagu yang ingin dibawa dalam perjalanan kariernya.

    Oleh itu, Hafiz menjelaskan dia amat tertarik dengan seni kata lagu yang dinyanyikannya sebelum ini, Awan Nano, ciptaan M Nasir yang menyebabkan dia ingin mencuba genre terbabit, selain ia juga dapat memeberikan kelainan buat peminatnya.

    “Kalau kita hayati lirik lagu Awan Nano, ia menceritakan mengenai penghijrahan Rasulullah. Ada juga lagu lain seperti Tak Selalu Indah oleh Kautsar yang menceritakan mengenai kehidupan kita.

    “Lagu yang mempunyai unsur nasihat dan tidak kosong seperti inilah yang ingin saya bawakan,” jelasnya kepada akhbar tersebut.

    Dengan cara ini, Hafiz berharap dapat memeriah dan mencantikkan lagi industri muzik negara dengan lagu-lagu kerohanian yang boleh mendekatkan peminat dengan Tuhan.

    “Saya tidak mengatakan industri muzik sekarang teruk, cuma saya ingin mencari jalan bagaimana untuk mencantikkannya lagi.

    “Selain mengajak teman dan rakan untuk berhibur, saya juga mahu membawa mereka melakukan sesuatu yang dekat dengan Allah,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/EZ

    Subjects:

  • No Comment to " Bukti Versatiliti, Hafiz Ingin Cuba Genre Islamik "