• “Bukan Jenayah Pedofilia Tapi Sisi Positif Poligami”

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+


    GARA-GARA mengetengahkan watak seorang remaja yang berkahwin dengan lelaki berusia, drama rantaian berjudul Kekasih Paksa Rela didakwa mempromosikan jenayah pedofilia.

    Bagaimanapun pelakon utamanya, Intan Najuwa menyelar dakwaan tidak berasas itu dan tampil menjelaskan keadaan sebenar.

    Menurut pelakon berusia 21 tahun itu, dia tidak merasakan drama terbitan Creative Skill Solution Sdn. Bhd. itu mempromosikan jenayah tersebut, seperti mana yang menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen tempatan.

    Sebaliknya, drama adaptasi novel tersebut sebenarnya mengangkat sisi positif poligami dalam kalangan golongan muda pada masa kini.

    “Benar, saya melakonkan watak seorang pelajar tingkatan enam yang berkahwin dengan lelaki berusia. Tetapi, fokus utama drama Kekasih Paksa Rela adalah berkenaan isu poligami.

    “Pada pendapat saya, drama ini mempunyai mesej yang sangat positif dan memberikan kefahaman kepada penonton tentang nilai-nilai murni menerusi poligami,” katanya seperti dipetik sebuah portal hiburan.

    Tegas Intan lagi, watak yang dijayakannya dalam drama tersebut bukanlah watak pelajar perempuan bawah umur. Sehubungan itu, dakwaan seperti ita adalah sama sekali tidak berasas.

    “Saya tidak lihat drama ini mempromosikan jenayah pedofilia kerana watak yang saya jayakan merupakan seorang gadis berusia 19 tahun yang sedang menuntut di tingkatan enam. Jadi, tidak timbul isu yang mana drama ini menggalakkan jenayah pedofilia,” kata Intan.

    Kekasih Paksa Rela adalah sebuah drama yang mengisi slot Akasia TV3. Drama sebanyak 28 episod yang diarahkan oleh Idora Abdul Rahman ini mula ditayangkan pada 26 Disember 2017 lalu bagi menggantikan drama, Lelaki Itu Pemilik Hatiku. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " “Bukan Jenayah Pedofilia Tapi Sisi Positif Poligami” "