• Budaya Selang-Seli Jadi Kekuatan Pemuda, Wanita PBB

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang terus relevan hingga hari ini didorong persefahaman utuh yang diamalkan.

    Ketua Pergerakan Wanita PBB, Tan Sri Empiang Jabu berkata, ia dibuktikan dengan budaya selang-seli yang diamalkan untuk menentukan ketua wanita dan ketua pemuda.

    "Prinsip selang seli adalah asas kukuh kepada kestabilan PBB. Jika ketua pemuda di kalangan sayap bumiputera maka ketua wanita pula sayap pesaka dan begitu juga sebaliknya," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Ke-14 Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

    Majlis tersebut disempurnakan Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Malah menurut Empiang, ahli PBB juga tidak pernah mengamalkan budaya tumbang menumbang untuk menjatuhkan pemimpin.

    "Ini menunjukkan PBB merupakan antara parti politik paling kukuh di Malaysia," ujarnya.

    Dalam perkembangan berkaitan beliau melahirkan keyakinan Dato Sri Fatimah Abdullah yang menggantikannya sebagai Ketua Wanita PBB mampu menggalas amanah dengan sebaik mungkin.

    "Tahniah kepada Fatimah yang dilantik menjadi ketua wanita baharu.

    "Saya yakin beliau dapat meneruskan tanggungjawab tanpa berbelah bahagi dan taat setia kepada presiden parti," jelasnya.

    Empiang melepaskan jawatan sebagai Ketua Wanita PBB selepas 34 tahun bersama pergerakan tersebut.-Sarawakiana
  • No Comment to " Budaya Selang-Seli Jadi Kekuatan Pemuda, Wanita PBB "