• Buat Liputan Majlis Kahwin Sendiri

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+

    ISLAMABAD - PAKISTAN. Kerjaya sebagai wartawan sememangnya mencabar dan menyeronokkan yang mana kadang kala mereka akan membuat liputan di zon perang dan kawasan dilanda bencana alam.

    Bagi wartawan di Pakistan ini, profesion tersebut memberinya peluang untuk membuat liputan hari perkahwinannya sendiri.

    Liputan hari bahagia wartawan berita saluran City 41, Hanan Bukhari bersama pasangannya itu turut menjadi tular di media sosial.

    Menerusi rakaman video tersebut, Bukhari yang berasal dari bandar Faisalabad, wilayah Punjab itu turut menemubual ahli keluarganya.

    "Perkahwinan kami adalah atas dasar cinta. Ibu bapa saya amat gembira hari ini dan mereka telah bersusah payah membuat segala persiapan untuk majlis ini. Saya turut diarak dengan kereta sport dan motosikal berkuasa tinggi," katanya yang mengenakan pakaian tradisional.

    Isterinya turut tersipu-sipu malu apabila ditemubual olehnya dan wanita itu hanya tersenyum apabila diusik suaminya.

    "Anda berkahwin dengan saya hari ini. Apa yang anda mahu katakan?" ujarnya.

    "Saya sangat gembira dan berharap awak akan menjadikan segala impian saya menjadi kenyataan," jawab wanita itu sambil tersenyum.

    Gaya membuat liputan yang unik itu turut mendapat pelbagai reaksi di media sosial malah ada yang mempertikaikan cara Bukhari yang kononnya tidak profesional.

    Seorang kolumnis, Mosharraf Zaidi pula berpendapat orang ramai tidak perlu mengecam wartawan tersebut hanya kerana dia mahu berkongsi hari bahagianya. - gulfnews

    Subjects:

  • No Comment to " Buat Liputan Majlis Kahwin Sendiri "