• BR1M Dinanti-Nantikan, Bukan Dedak Kerajaan

    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    Hari ini 26 Februari 2018 merupakan pengagihan peringkat pertama tahun 2018 bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat berbilang kaum dan agama negara ini.

    Sebelum ini, pembangkang sering menuduh BR1M sebagai satu langkah untuk memancing undi dan malah menuduh bantuan tersebut merupakan rasuah. Yang lebih teruknya lagi, pembangkang menghina rakyat yang menerima BR1M sebagai penerima dedak.

    Pembangkang memang tidak akan bersetuju dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan setiap dasar kerajaan yanv memberi faedah kepada rakyat pasti akan dibangkang dan tidak betul di mata mereka.

    Apabila kerajaan laksanakan BR1M pada 2012, bantuan RM500 yang diberikan telah memanfaatkan hampir 4.1 juta penerima, pembangkang bertindak melampau dengan menghina penerima seumpama haiwan yang makan dedak.

    Hal sedemikian mempertontonkan sikap pembangkang yang tidak menghormati rakyat negara ini yang pada hakikatnya memerlukan pembelaan daripada kerajaan memerintah. Sehingga kini terbukti BR1M sangat-sangat membantu rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan.

    Pada tahun 2018 pula, dijangka lebih 7.2 juta penerima akan menerima manfaat BR1M dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion.

    Hakikatnya, semua yang layak mendapat BR1M, termasuk di negeri ditadbir pembangkang. Malah, negeri ditadbir pembangkang adalah penerima tertinggi BR1M.

    Lebih mengelirukan, pembangkang yang sebelum ini menghina, mengutuk BR1M sebagai dedak, pancing undi, rasuah, kini buat u-turn mengaku bahawa BR1M akan diteruskan jika mereka berkuasa. Memang mereka ini Pakatan Keliru, dengan Raja U-turn sebagai ketua.

    Untuk pengetahuan umum, BR1M ini sebenarnya adalah idea yang datang daripada Bank Negara Malaysia (BNM), bukan daripada mana-mana parti politik. BNM mencadangkan pemberian subsidi bersasar seperti BR1M menggantikan subsidi pukal yang hanya menguntungkan pihak-pihak yang sudah berada.

    Sebagai contoh subsidi pukal minyak, orang yang sepatutnya menerima subsidi mendapat kurang berbanding orang yang tinggi kemampuan, contohnya Petrol RON95, orang berkereta besar mendapat manfaat lebih daripada mereka yang membawa motor atau memandu kereta lebih kecil.

    Ternyata idea melaksana BR1M amat tepat dan subsidi bersasar lebih relevan memandangkan golongan yang sepatutnya menikmati subsidi akan mendapat manfaat secara menyeluruh. Pada masa sama, BR1M begitu membantu seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " BR1M Dinanti-Nantikan, Bukan Dedak Kerajaan "