• Boeing Terima Tempahan Perkhidmatan AS$900 Juta

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    SINGAPURA: Unit perkhidmatan global Boeing mengumumkan tempahan perkhidmatan bernilai lebih AS$900 juta (RM3.52 bilion) di Pertunjukan Udara Singapura 2018.

    Urus niaga itu termasuk perjanjian dengan Malaysia Airlines (MAS) untuk pertukaran gear pendaratan di mana pengendali akan menerima gear pendaratan yang diubahsuai dan diperakui, dengan komponen stok dan bahagian sokongan dihantar dalam masa 24 jam.

    "Boeing serius untuk membantu pelanggan mengoptimumkan prestasi pesawat mereka dan mengurangkan kos operasi sepanjang kitaran hayat.

    "Pertumbuhan perkhidmatan aeroangkasa yang diramalkan di Asia Pasifik membuka peluang untuk menjadi rakan kongsi industri tempatan dalam memahami keperluan terbesar di rantau ini, melabur dalam keupayaan baru untuk memenuhi keperluan tersebut dan kemudian membawa mereka ke pasaran dengan cepat," kata Presiden Perkhidmatan Global dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Stan Deal dalam satu kenyataan pada Selasa.

    Bagaimanapun, Boeing tidak mendedahkan nilai tempahan yang dibuat MAS.

    Ia berkata, 15 perjanjian tempahan perkhidmatan telah ditandatangani, termasuk untuk komponen, kejuruteraan, pengubahsuaian dan penyelenggaraan, penerbangan digital dan analisis, latihan dan perkhidmatan profesional.

    Beribu pejabat di Dallas, Amerika Syarikat, Boeing Global Services mengintegrasikan keupayaan perkhidmatan sektor kerajaan, ruang udara dan komersil ke dalam perniagaan tunggal yang berfokuskan pelanggan, menyediakan perkhidmatan yang kompetitif dan tangkas kepada pelanggan komersial dan kerajaan di seluruh dunia. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Boeing Terima Tempahan Perkhidmatan AS$900 Juta "