• BN Layan Sama Rata: TPM

    Published: Saturday, 3 February 2018
    A- A+
    HULU SELANGOR: Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak bersikap berat sebelah dalam menarik dan mengagihkan pelaburan asing ke setiap negeri termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai pembangkang.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jika benar dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan bersikap tidak adil sudah pasti banyak pelaburan asing akan ditempatkan di kawasan Parlimennya, Bagan Datuk, Perak atau di Parlimen Jeli, Kelantan di bawah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut membidas pemimpin pembangkang diketuai DAP apabila mendabik dada kononnya segala pelaburan asing di Selangor dan Pulau Pinang adalah hasil usaha kerajaan negeri semata-mata tanpa memikirkan usaha gigih Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    "Kita lihat pembangunan di Selangor hari ini adalah bukti bagaimana ada pihak (kerajaan negeri) yang tumpang 'semangkuk' hasil usaha yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.

    "Kita tidak membeza sama ada sesebuah negeri itu ditadbir oleh pembangkang atau BN.

    "Sebaliknya, demi negara pelaburan asing akan ditempat di mana-mana saja dan jangan ada pihak yang mengakui kononnya setiap pelaburan adalah hasil usaha mereka semata-mata," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah pembinaan kilang rawatan permukaan logam untuk industri aeroangkasa milik T7 Kilgour Sdn Bhd di Serendah, di sini, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Eksekutif T7 Global Berhad, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, dan timbalannya, Tan Sri Tan Kean Soon.

    Ahmad Zahid berkata, Bajet 2018 meletakkan industri aeroangkasa dalam kategori tunjang pertama iaitu sebagai pelaburan industri berimpak tinggi dan ia menyumbang angka agak besar kepada pertumbuhan ekonomi.

    Menurutnya, pada 2016, industri aeroangkasa memperoleh pendapatan RM12.7 bilion dan membayar gaji lebih 21,000 pekerja berkemahiran tinggi.

    Malah katanya, perdagangan membabitkan produk aeroangkasa mencecah RM17.47 bilion dengan eksport negara mencatatkan peningkatan 32.6 peratus bersamaan RM5.53 bilion pada tahun lalu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " BN Layan Sama Rata: TPM "