• BN Boleh Menang Majoriti Mudah PRU-14

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dijangka tidak menghadapi masalah mendapat undi majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berdasarkan prestasi semasa kerajaan dalam menyantuni aspirasi rakyat.

    Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali, berkata berdasarkan situasi semasa tidak mustahil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu membawa kemenangan dua pertiga kepada BN.

    Katanya, faktor penolakan terhadap parti pembangkang terutama pakatan harapan (PH) di bawah pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad satu kelebihan kepada BN.

    "Hasil soal selidik dijalankan sebulan lalu, responden menyatakan mereka enggan memilih PH pada PRU-14 kerana tidak bersetuju dengan keputusan menamakan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

    "Dalam masa sama, cara Najib menyantuni rakyat seperti pembinaan Tren Aliran Transit Massa (MRT), pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) berjaya memikat hati pengundi," katanya selepas membentangkan kertas kerja pada Persidangan Meja Bulat PraPRU-14 : BN kekal atau...?? di Hotel Istana di sini, hari ini.

    Persidangan itu dianjurkan Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN).

    Terdahulu, ketika pembentangan kertas kerja itu, Mohd Fuad berkata, hasil soal selidik mendapati BN dijangka memperoleh 55.4 peratus undi pada peringkat Parlimen, manakala pakatan pembangkang membabitkan kerjasama DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) memperoleh 9.2 peratus dan serta sebagai blok ketiga dengan tujuh peratus.

    Soal selidik itu antara hasil kajian dijalankan penyelidik UKM yang di selaraskan beliau.

    Berdasarkan soal selidik itu yang dijalankan antara Januari hingga minggu kedua bulan ini, mendapati jumlah pengundi atas pagar lebih tinggi iaitu 28.4 peratus berbanding peratusan kemenangan diperoleh PH dan PAS.

    Mohd Fuad berkata, kajian di Johor pula mendapati 57.6 peratus daripada 4,000 responden menyatakan mereka memilih BN, manakala 10.8 peratus memilih PH, sembilan peratus mengundi PAS dan 22.4 peratus menyatakan tidak pasti untuk mengundi parti yang mana boleh dikategorikan pengundi atas pagar.

    Katanya, untuk undi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebanyak 58.1 peratus responden memilih BN, manakala 10.9 peratus mengundi PH, satu peratus PAS dan 30 peratus menyatakan tidak pasti. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " BN Boleh Menang Majoriti Mudah PRU-14 "