• Berita Palsu, Strategi Politik Boleh Musnahkan Negara

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA: Cadangan pembentukan undang-undang baharu bagi membendung penyebaran berita palsu, tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyekat kebebasan bersuara dan tahanan tanpa bicara.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, cadangan pembentukan undang-undang itu seharusnya disambut baik oleh semua pihak termasuk pembangkang kerana negara luar turut mengambil langkah sama untuk membendung penyebaran berita palsu.

    Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa pembentukan undang-undang bagi mengekang berita palsu itu bertujuan menyekat rakyat daripada mengkiritik kerajaan.

    "Tun Mahathir tidak perlu bimbang kerana undang-undang yang akan digubal ini tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (ketika zaman pentadbiran beliau) yang menyekat kebebasan bersuara dan tahanan tanpa bicara," kata Azalina dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook beliau, hari ini.

    Azalina berkata, berita palsu adalah strategi perang baharu yang boleh memusnahkan negara dengan hanya melalui hujung jari. Justeru, langkah kerajaan untuk menggubal undang-undang itu selaras dengan perkembangan semasa.

    "Sebagai bekas Perdana Menteri dan juga bekas Ahli Parlimen lebih 20 tahun, Tun Mahathir seharusnya melihat usaha ini tanpa prasangka buruk kerana pindaan ini dibuat dengan niat untuk kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

    "Beliau seharusnya lebih rasional dalam menilai isu ini kerana penyebaran berita palsu ini dibuat dengan niat yang tidak baik dan tidak beretika, malah sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada berita palsu termasuk beliau sendiri," katanya.

    Baru-baru ini, Azalina mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

    Bagaimanapun, Dr Mahathir dilaporkan mendakwa undang-undang itu disifatkan sekadar mahu menutup kebenaran.

    Azalina turut sekali lagi menegaskan bahawa penggubalan undang-undang itu masih belum muktamad dan jawatankuasa khas yang ditubuhkan masih lagi mengadakan rundingan dan perbincangan bersama pihak berkepentingan sebelum diputuskan Kabinet.

    "Justeru, tidak adil untuk mana-mana pihak menghakimi usaha murni kerajaan ini kerana proses itu masih lagi berjalan dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk menangani isu ini secara berkesan dan komprehensif," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Berita Palsu, Strategi Politik Boleh Musnahkan Negara "