• Belia Di Bau Digesa Ceburi Perniagaan Pengeluaran Makanan

    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+

    BAU : Belia Bumiputera di Sarawak khususnya di daerah ini digesa agar menceburi perniagaan asas tani dalam bidang pengeluaran makanan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Anthony Nogeh.

    Beliau berkata perniagaan pengeluaran makanan merupakan industri yang sangat besar kerana Malaysia kekurangan barangan makanan dan mengimport bahan itu yang bernilai berbilion ringgit.

    "Tahun lepas sahaja Malaysia mengimport barang makanan bernilai RM4.1 bilion dan ini menunjukkan bahawa keluaran barang makanan kita bukan sahaja untuk menampung keperluan pasaran tempatan tetapi juga untuk pasaran eksport," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Tekun Nasional Bersama Belia Tani Daerah Bau, Sarawak di sini malam tadi.

    Beliau berkata, belia yang berminat boleh memanfaat pelbagai program dan pinjaman yang disediakan kerajaan di bawah pelbagai agensi termasuk pembiayaan yang disediaan Tekun Nasional dan kementerian turut melaksanakan pelbagai program untuk belia di bawah umur 40 tahun.

    Terdahulu, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Datuk Baharom Embi berkata Tekun Nasional telah menyalurkan sebanyak RM246.3 juta pinjaman perniagaan kepada 29,963 usahawan di negeri ini meliputi 41,022 pinjaman.

    Sehingga Januari tahun ini, Tekun Nasional melalui Skim Pembiayaan Agropreneur Muda juga telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM16.4 juta kepada 438 belia tani di seluruh negara, manakala untuk Sarawak, sebanyak RM288,000 disalurkan kepada 24 usahawan tani belia.

    -- BERNAMA
  • No Comment to " Belia Di Bau Digesa Ceburi Perniagaan Pengeluaran Makanan "