• Belaian Jemari Import

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+

    PETALING JAYA: Import tukang urut haram dari Thailand dan China untuk berkhidmat di negara ini. Itu antara modus operandi kebanyakan pusat kecantikan dan urutan tradisional yang dikesan masih berdegil menggunakan khidmat pendatang asing tanpa izin (PATI) walaupun menyedari ia satu kesalahan.

    Terbaru dua pemilik premis perniagaan di Jalan SS 2/67 di sini, diserbu polis, petang semalam.

    Dalam serbuan di premis pertama pada jam 6 petang, empat wanita warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut di premis menawarkan urutan Thai itu ditahan termasuk seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis.

    Setengah jam kemudian, polis menyerbu pula premis rawatan kecantikan di lokasi berhampiran yang dikesan menggaji tiga wanita warga China juga sebagai tukang urut di situ.

    Turut ditahan, seorang lelaki penjaga premis warga tempatan.

    Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman, berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas pelbagai peralatan mengurut termasuk serta sejumlah wang tunai hasil perniagaan.

    “Kita dapati kedua-dua premis perniagaan ini menggaji warga asing sebagai pekerja tanpa permit dan pemeriksaan mendapati ada antara mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini.

    “Semua mereka dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Belaian Jemari Import "