• Bekalan Mayat Tak Cukup

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+

    Kebanjiran institusi pengajian tinggi berkaitan sains perubatan dan pergigian menyebabkan berlaku kekurangan bekalan mayat manusia untuk penyelidikan serta kajian.

    Pengarah Institut Perubatan Forensik Negara, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood berkata, penggunaan mayat amat penting kepada pelajar perubatan untuk latihan bagi membolehkan mereka memahami teori, melakukan pemeriksaan fizikal, mentafsir imej klinikal dan diagnosis.

    “Kadaver (jasad mayat) digunakan secara meluas untuk latihan anatomi dan perubatan di seluruh dunia. Penggunaan kadaver penting kepada doktor pelatih untuk mengintegrasikan pembelajaran mereka dengan aplikasi dan amalan perubatan.

    “Bagaimanapun, bekalan mayat semakin berkurangan selain kos penyimpanannya juga meningkat menyebabkan sukar bagi institusi pengajian perubatan mendedahkan pelajar mereka dengan mayat sebenar untuk menerapkan apa yang dipelajari di dalam kelas.

    “Senario itu berlaku berikutan jumlah institusi pengajian perubatan di negara ini yang semakin bertambah,” katanya. Bagi mengatasi masalah itu, Dr Mohd Shah berkata, pihaknya membangunkan model pengimejan berkomputer sebagai pilihan untuk pembelajaran praktikal anatomi menerusi teknologi digital.

    “Namun, ia masih tidak dapat menggantikan pembedahan mayat kerana hakikatnya mayat memberikan gambaran jelas mengenai tubuh manusia, tekstur sebenar tisu manusia dan patologi.

    “Oleh itu, proses khas perlu dilakukan terhadap setiap mayat untuk memastikan ia tidak rosak dan sesuai digunakan untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Seminar Pengendalian Kadaver Untuk Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Perspektif Islam di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Nilai, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dr Muhammad Yamin Ismail, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Arif serta Pensyarah Perubatan dan Anatomi USIM Ku Mastura Ku Mohd Noor.

    Seminar berkenaan diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada ahli akademik dan pengamal perubatan mengenai garis panduan pengendalian mayat mengikut perspektif Islam.

    Sementara itu, Dr Muhammad Shamsir berkata, penyediaan garis panduan oleh FPSK dengan kerjasama pakar dari Jabatan Forensik, Kementerian Kesihatan, Institusi Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa serta JAKIM itu akan digunakan di semua institusi pengajian awam dan swasta.

    “Apabila siap kelak, ia menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di rantau ini yang mempunyai panduan dalam institusi perubatan. Kami berbangga seminar ini turut mendapat penyertaan negara jiran seperti Indonesia dan Brunei,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bekalan Mayat Tak Cukup "