• Beg Plastik: Pasar Raya Untung RM120 Juta Setahun

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Pasar raya dan kedai runcit seluruh negara termasuk kerajaan PKR Selangor mampu mengaut keuntungan konservatif sebanyak RM120 juta setahun bagi per­belanjaan caj 20 sen beg plastik.

    Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, keuntungan konservatif RM120 juta setahun itu meliputi semua pasar raya di seluruh negara terutama di Selangor yang dilihat mendapat keuntungan sehingga 70 peratus daripada hasil jualan beg plastik dengan caj 20 sen.

    “Setiap pengguna akan membeli sekurang-kurangnya tiga beg plastik bernilai 60 sen, kita andaikan 600 hingga 700 pengguna membeli di kedai runcit dan pasar raya setiap hari dan jumlah anggaran keuntungan kasar yang diperoleh sebanyak RM10 juta sebulan.

    “Saya difahamkan, kos setiap beg plastik adalah sebanyak 3 sen sahaja, namun seperti Kerajaan PKR Selangor, mereka menyuruh rakyat membayar pada kadar 20 sen. Jumlah itu menunjukkan perbezaan besar iaitu seba­nyak 17 sen. Ini bermakna, kedai runcit dan pasar raya mampu mendapat untung besar jika memperoleh 1,000 pengguna setiap hari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Selasa lalu, beberapa persatuan pengguna mendesak Kerajaan PKR Selangor menjelaskan ke mana caj 20 sen tersebut disalurkan supaya pelaksanaan kempen beg plastik tersebut lebih telus.

    Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Noh Omar dalam kenyataannya berikrar menghapuskan caj 20 sen bagi setiap penggunaan plastik yang dikuatkuasakan Kerajaan PKR Selangor pada 1 Januari tahun lalu itu hingga membebankan pengguna, jika BN berjaya kembali mentadbir Selangor.

    Sementara itu, Timbalan Pre­siden Gabu­ngan Persatuan-persa­tuan Peng­guna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, caj 20 sen beg plastik kononnya bagi mendenda pengguna namun diambil sebagai sumber pendapatan kepada pasar raya tersebut.

    “Bayangkan jika ada 1,000 pengguna sehari yang membeli barang, berkemungkinan mereka (pengguna) akan membeli tiga hingga lima beg plastik de­ngan bernilai RM1 mengikut barang keperluan yang dibeli. Jadi, caj 20 sen itu boleh memberi keuntungan setiap hari sekali gus memberi nilai tambah kepada pihak pasar raya itu.

    “Jika pihak pasar raya benar-benar mahu menjual plastik beg seeloknya jual beg yang boleh dikitar semula atau beg bahan-bahan boleh urai (biodegradable) bagi memastikan pengguna boleh mengguna pakai beg tersebut apabila membeli-belah kelak,” katanya.

    Selain itu, bagi Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pasar raya menjadikan caj 20 sen beg plastik sebagai sumber pendapatan untuk me­ngaut keuntungan.

    “Pasar raya boleh mengaut keuntungan yang berlipat ganda hanya dengan mengenakan caj 20 sen beg plastik dan pengguna tidak mengetahui status caj tersebut digunakan.

    “Kita tidak mahu mereka (pasar raya) menjadikan caj 20 sen sebagai sumber pendapatan sekali gus membebankan pengguna. Seeloknya jadikan caj 20 sen tersebut untuk mengadakan program bersama pengguna atau sebaliknya,” katanya.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Beg Plastik: Pasar Raya Untung RM120 Juta Setahun "