• Bayi 6 Bulan Mati Dipercayai Didera Bapa

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    TAIPING: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia pagi semalam, selepas empat hari dirawat di Hospital Taiping (HT), dipercayai akibat didera bapanya.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi ketika dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) hospital berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata bayi berkenaan sebelum itu dihantar ke HT pada jam 6.30 petang Jumaat lalu selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh buaian di rumahnya di Kampung Paya Baru, Tekah, di sini oleh ibu bapa mangsa yang masing-masing berusia 21 dan 19 tahun.

    "Berdasarkan laporan dibuat doktor yang merawat mangsa, bayi berkenaan sudah tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital dan apabila doktor bertanyakan kepada ibu bapanya, mereka memberitahu bayi terbabit jatuh buaian.

    "Bayi berkenaan dirawat di NICU dan diberi bantuan pernafasan sebelum pemeriksaan rapi serta laporan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan mangsa mengalami pendarahan pada otak dan mata," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Mohamad berkata, pemeriksaan fizikal bayi berkenaan bagaimanapun mendapati tiada sebarang kesan lebam ketika dimasukkan ke wad.

    "Selepas pemeriksaan rapi dibuat doktor yang merawat mangsa, disyaki ada unsur penderaan sama ada dengan niat atau tidak.

    "Kira-kira jam 7.30 pagi semalam, bayi terbabit disahkan meninggal dunia dan laporan polis dibuat pihak hospital sebelum mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat," katanya.

    Beliau berkata, susulan laporan diterima itu, pihaknya mengambil keterangan doktor yang merawat dan kedua ibu bapa bayi berkenaan.

    Katanya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasi sebagai kes dera dan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    "Hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan kepala kerana trauma tumpul.

    "Susulan itu polis akan membuat tangkapan terhadap bapa bayi berkenaan berusia 21 tahun yang bekerja di kantin sebuah kilang untuk membantu siasatan," katanya.

    Mohamad berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku di rumah keluarga ibu bayi terbabit yang ketika kejadian hanya mangsa dan bapanya berada di rumah itu.

    "Datuk dan nenek mangsa keluar bekerja, manakala ibunya yang tidak bekerja menghantar makanan kepada saudaranya di hospital ketika bayi itu dijaga bapanya.

    "Bagaimanapun, kira-kira jam 3 petang, bapa bayi terbabit dikatakan menghubungi isterinya memberitahu anak mereka pengsan akibat jatuh buaian sebelum isterinya bergegas pulang dan mereka kemudian menghantar mangsa ke hospital menaiki kereta," katanya.

    Beliau berkata, semakan turut mendapati bapa bayi terbabit mempunyai satu rekod kesalahan lampau kerana memiliki kenderaan curi, manakala ujian air kencing terhadap ibu bapa bayi itu negatif dadah. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bayi 6 Bulan Mati Dipercayai Didera Bapa "