• Bayar Pampasan Berbilion Ringgit Jika Batal ECRL

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membayar pampasan berbilion ringgit kepada kontraktor projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya pakatan pembangkang hendak menamatkan projek itu apabila mereka menjadi kerajaan.

    Penganalisis ekonomi, Prof Dr Wan Mansor Wan Mahmood, berkata itu adalah risiko perlu ditanggung Kerajaan Pusat sekiranya hendak menamatkan projek itu.

    "Jika projek itu dibatalkan, sudah tentu kerajaan perlu bayar pampasan berbilion ringgit kepada kontraktor. Projek itu ada terma dan perjanjian antara dua pihak.

    "Jika satu pihak menarik diri, mesti ada pampasan perlu dibayar. Kerajaan terpaksa keluarkan duit yang banyak. Ia bergantung kepada klausa perjanjian," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kerajaan pakatan pembangkang akan menamatkan projek ECRL jika mendapati ia tidak berdaya maju dan menguntungkan.

    Dr Mahathir berkata demikian dalam slot video secara langsung 'Bicara Dasar: Pentadbiran dan Ekonomi' disiarkan menerusi Facebook hari ini.

    Wan Mansor yang juga Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, tanggapan Dr Mahathir yang projek seperti itu tidak berdaya maju atau tidak menguntungkan juga samar.

    Katanya, ini kerana sebelum hendak melaksanakan sesuatu projek mega, kerajaan sudah menjalankan kajian menyeluruh dan menilai impak ekonomi kepada negeri serta kawasan terbabit dalam jajaran laluan ECRL.

    Sementara itu, katanya, hasrat pakatan pembangkang memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan melaksanakan semula cukai jualan akan menyebabkan kehilangan pendapatan kerajaan sehingga RM15 bilion setahun.

    Beliau berkata, kehilangan hasil kerajaan daripada sumber petroleum akibat kejatuhan harga minyak kini ditampung menerusi kutipan GST.

    "Menerusi GST, kerajaan dapat mengutip hasil sehingga RM40 bilion, tetapi jika kembali kepada pelaksanaan cukai jualan, kerajaan hanya kutip RM15 bilion saja," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bayar Pampasan Berbilion Ringgit Jika Batal ECRL "