• Batman Malaysia Mahu Catat Rekod

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+

    Lebih lima tahu lalu, dia sering mengimpikan untuk dikenali sebagai Batman Malaysia tapi tidak mempunyai keberanian untuk melakukannya.

    Sejak kecil dia begitu obses dengan watak Batman dan banyak menonton rancangan berkenaan menerusi televisyen bagi memenuhi hobinya.

    Namun, segalanya mula berubah sejak April tahun lalu selepas menyertai satu program bersama Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah di Nilai, Negeri Sembilan.

    Pada tarikh itu juga, julung kalinya dia muncul di khalayak ramai dari Plaza Tol Sungai Besi ke Nilai.

    Kemunculannya memakai kostum Batman versi Dark Night Movie bersama motosikal Batman (Batpod) mencuri tumpuan pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hingga menyebabkan lebuh raya berkenaan mengalami kesesakan.

    Batman Malaysia yang ingin merahsiakan identitinya itu berkata, sejak orang ramai mengambil gambarnya bersama motosikal dan menularkannya di laman sosial, dia semakin terkenal.

    “Video motosikal itu di YouTube yang berdurasi 11 minit 46 saat kini sudah mencecah 2.3 juta tontonan sejak dimuat naik beberapa bulan lalu.

    “Sementara Facebook Batman Malaysia Dark Night Fans pula mempunyai 2.5 juta pengikut.

    “Saya tidak menyangka menerima maklum balas yang positif rakyat negara ini, meskipun mereka tidak mengenali diri Batman Malaysia yang sebenar,” katanya kepada Nuansa.

    Katanya, kostum dan motosikal itu adalah buatan sendiri (DIY) dengan membelanjakan kira-kira RM40,000 wang simpanannya.

    “Saya tidak kisah membelanjakan sejumlah besar wang simpanan demi memenuhi hobi dan berpuas hati kerana dapat menggembirakan ramai orang terutamanya kanak-kanak.

    “Tidak dinafikan pada peringkat awalnya kanak-kanak takut dengan Batman Malaysia dan tidak kurang juga ada yang menangis tapi kini mereka teruja setiap kali berjumpa saya dalam mana-mana program,” katanya.

    Menurutnya, selepas dikenali sebagai Batman Malaysia, rutin kehidupannya berubah 180 darjah dan menerima banyak jemputan untuk mengadakan program.

    “Adakalanya saya terpaksa menolak kerana komitmen dengan tugas hakiki dan kebiasaannya hobi ini dilakukan pada hujung minggu saja.

    “Impian saya ialah untuk menghasilkan kereta Batman (Tumbler) seperti dalam filem Batman dan tercatat dalam Malaysia Book Of Records,” katanya dan berharap impiannya itu bakal tercapai tidak lama lagi.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Batman Malaysia Mahu Catat Rekod "