• Barangan Tiruan Bernilai RM10,865 Dirampas

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Pelbagai barangan tiruan menggunakan jenama terkenal bernilai RM10,865, dirampas dalam operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Jalan Bukit Bintang di sini, tengah hari semalam.

    Dalam serbuan Ops Barang Tiruan, beberapa warga asing dipercayai kebanyakannya Bangladesh dan bekerja sebagai 'penjaga' premis, bertempiaran lari serta membiarkan sahaja produk jualan dirampas.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur, Wan Mhd Yusof W Taib, berkata melalui operasi dijalankan 13 pegawai penguat kuasa KPDNKK Kuala Lumpur bersama wakil cap dagang di negara ini, sebanyak tujuh premis diperiksa.

    Hasil pemeriksaan, beliau berkata, pihaknya merampas 555 unit barang tiruan terdiri daripada 41 unit jam tangan, cincin (enam), gelang tangan (lapan), minyak wangi (11), dompet (18), beg (21), topi (52), tali pinggang (17), beg tangan (116), baju (52), seluar (26) dan selipar (187).

    "Produk berkenaan menggunakan jenama terkenal seperti Puma, Nike, Chanel, Louis Vuitton, Gucci, Yves Saint Laurent, Prada dan Levi's, dikenal pasti oleh wakil cap dagang yang menyertai operasi.

    "Kesemua barangan itu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM10,865, dirampas mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya dalam satu kenyataan di sini, pagi ini.

    Wan Mhd Yusof berkata, beberapa premis di lokasi berkenaan tidak serik menjual barangan tiruan walaupun sudah beberapa kali diserbu penguat kuasa KPDNKK.

    "Melalui operasi berkala dijalankan, kita mendapati ada beberapa premis itu akan aktif semula menjual barangan tiruan biarpun sudah beberapa kali dirampas, selain dikenakan kompaun," katanya.

    Hasil maklumat diperoleh, beliau berkata selepas beberapa hari rampasan dilakukan, pihak terbabit akan membawa bekalan barangan tiruan yang baharu dan beroperasi semula seperti biasa.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Barangan Tiruan Bernilai RM10,865 Dirampas "