• Bapa Zalim Hempas, Pijak 2 Anak

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+

    Lagi kes hempas anak sehingga cedera tetapi kali ini membabitkan dua kanak-kanak berusia lima dan lapan tahun.

    Malah mereka bukan sahaja dihempas malah turut dipijak oleh bapa sendiri yang naik hantu tidak semena-mena dalam kejadian di rumah mereka di Segamat Baru.

    Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi semalam, lelaki berusia 31 tahun lalu itu pada mulanya mengangkat sebelum menghempas anak perempuannya yang berusia lapan tahun ke lantai simen.

    Ketua Polis Daerah Segamat Superitendan Raub Selamat, berkata lelaki itu dikatakan secara tiba-tiba marah dan bertindak memukul anak perempuannya sebelum turut memijak anak lelakinya yang berusia lima tahun.

    "Isterinya yang berusia 30-an yang turut berada di lokasi kejadian dikatakan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang turut menjadi mangsa suaminya," katanya pada sidang media di pejabatnya, di Segamat hari ini.

    Raub berkata, suspek yang melihat anaknya menangis kesakitan kemudian menghantar kedua-dua anaknya mendapat rawatan di Hospital Segamat.

    Katanya, pihak hospital yang merawat mangsa curiga dengan kesan kecederaan di kepala anak perempuan lelaki itu kemudian memaklumkan kejadian kepada polis.

    Beliau berkata, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan di bandar itu, kira-kira jam 11 pagi tadi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    "Pihak polis memandang serius kes ini yang dianggap melakukan penderaan fizikal serta mental terhadap kedua kanak-kanak yang tidak berdosa itu. Kita masih menunggu laporan penuh perubatan kedua-dua mangsa," katanya.

    Raub berkata, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bapa Zalim Hempas, Pijak 2 Anak "