• Bapa Durjana Dijel 80 Tahun, 24 Sebatan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+

    Pekerja am bukan sahaja terpaksa meringkuk dalam penjara selama 80 tahun, malah dikenakan 24 sebatan selepas didapati bersalah merogol anak kandungnya sejak tiga tahun lalu.

    Hakim Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad, di Mahkamah Sesyen Petra Jaya, menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh berusia 40 tahun itu didapati bersalah melakukan perbuatan keji terbabit sebanyak empat kali dalam tempoh tiga tahun.

    Bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan, tertuduh kepada empat anak itu dihukum penjara 20 tahun dan enam sebatan dengan hukuman berjalan berasingan berkuat kuasa hari ini.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bertindak merogol anak perempuannya ketika mangsa berusia 14 tahun di sebuah rumah di Padawan sejak Mac 2015.

    Keputusan mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh dibuat berikutan tindakannya menjadikan mangsa sebagai pemuas nafsu selepas tertuduh bercerai dengan isterinya dengan perbuatan terkutuk berlaku ketika mangsa sedang tidur.

    Tidak cukup dengan itu, tertuduh licik membawa anak kandungnya ke farmasi bagi membeli pil pencegahan kehamilan dan sanggup memaksa mangsa menelan pil terbabit sebelum dirinya dirogol.

    Perbuatan bapanya akhirnya terbongkar selepas mangsa mendedahkan perbuatan tertuduh kepada ibunya menerusi WeChat, sekali gus membawa kepada penangkapan tertuduh beberapa bulan lalu.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bapa Durjana Dijel 80 Tahun, 24 Sebatan "