• Bapa Bawa Anak Beli Dadah

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+

    TUMPAT: Bagi mengaburi mata penduduk kampung, seorang lelaki sanggup membawa anaknya berusia dua tahun untuk mengambil bekalan dadah, malah tindakannya itu tidak diketahui isteri yang dalam pantang di rumah.

    Bagaimanapun, nasib lelaki berusia 40-an itu malang apabila lokasi pertemuannya dekat rumah di Kampung Tok Malek, Wakaf Bharu di sini, diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tumpat.

    Serbuan menerusi operasi Perangi Dadah Habis-Habisan 3.0 itu bermula jam 4 petang hingga 6 petang kelmarin, menahan sembilan individu berusia 18 hingga 40-an termasuk lelaki terbabit.

    Penolong Pengarah Penguatkuasa AADK Kelantan Aman Mustafa berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika dalam perjalanan mahu mendapatkan bekalan dadah di rumah terbabit, malah siasatan pihaknya mendapati kediaman di tepi jalan itu sudah beberapa bulan dijadikan pusat jual beli dadah oleh pemiliknya yang berusia 42 tahun.

    Lokasi serbuan itu dihuni dua beradik dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan mereka aktif menjual sekitar jam 7 pagi hingga 11 malam.

    “Ketika serbuan, kami menahan sembilan individu termasuk si abang, manakala adiknya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di pejabat AADK Tumpat, semalam.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 400 dadah jenis eramin 5 dan tujuh pil ekstasi bernilai RM4,000 milik tokan berusia 34 tahun selain wang tunai RM1,270.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bapa Bawa Anak Beli Dadah "