• Banteras Judi, Lagi 91 Tahi Judi Ditahan Di Sarawak

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Seramai 91 tahi judi telah ditahan dalam 33 serbuan berasingan yang dijalankan di negeri ini sepanjang tempoh minggu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, individu-individu berkenaan ditahan dalam serbuan-serbuan yang dijalankan di seluruh negeri ini sejak 12 hingga 18 Februari.

    Menurutnya sebanyak 18 serbuan adalah melibatkan kes judi haram tanpa lesen, lima (5) kes judi siber, tiga (3) kes judi dalam kawasan rumah, empat kes melibatkan perjuadian di kawasan umum dan terbuka manakala tiga (3) lagi kes melibatkan aktiviti sabung ayam.

    “Serbuan-serbuan telah dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen serta anggota dari Ibu Pejabat Polis daerah-daerah melibatkan IPD Kuching, IPD Kota Samarahan, IPD Miri, IPD Bintulu, IPD Sibu, IPD Padawan, IPD Bau, IPD Simunjan, IPD Sarikei, IPD Betong, IPD Dalat dan IPD Sri Aman.” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

    Jelas Dev kesemua individu yang ditahan berusia 19 hingga 70 tahun yang terdiri daripada 80 lelaki manakala selebihnya adalah merupakan wanita.

    Dalam pada itu, empat warga asing turut ditahan dalam serbuan tersebut.

    Kes kini disiasat mengikut Akta Perjudian Rumah Terbuka 1953.

    Mengulas lanjut Dev menegaskan bahawa pihaknya akan terus mengadakan serbuan-serbuan bagi membanteras kegiatan judi tanpa lesen di negeri ini dari masa ke semasa.-Sarawakiana
  • No Comment to " Banteras Judi, Lagi 91 Tahi Judi Ditahan Di Sarawak "