• Bank Dunia Yakin Dasar Diamalkan Malaysia

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Dasar yang diamalkan Malaysia mampu mengekalkan kemampanan ekonomi negara dan berkembang pada kadar yang positif, demikian menurut Kumpulan Bank Dunia.

    Pengarah Prospek Pembangunan Kumpulannya, Ayhan Kose, berkata ekonomi Malaysia berada pada kedudukan kukuh dan akan meneruskan momentum pertumbuhan memberangsangkan pada masa depan.

    "Malaysia akan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, disokong oleh kepelbagaian ekonomi, pembaharuan dalam inisiatif dan rangka dasar makroekonomi yang mantap yang mana akan menjadi penampan kepada cabaran luaran," katanya selepas taklimat Prospek Ekonomi Global di sini, hari ini.

    Hadir sama, Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia, Faris H Hadad-Zervos.

    Kose menjelaskan, langkah Malaysia mempelbagaikan ekonomi jelas membantu negara ini mencorak ekonomi, selain pelbagai inisiatif kerajaan yang dilaksanakan memacu pertumbuhan seperti dijangka.

    "Jika dibandingkan dengan 20 tahun lalu, kepelbagaian ekonomi Malaysia sangat jelas di mana ia menjadikan asas dan makroekonomi yang kukuh. Sehubungan itu, kami menjangkakan potensi pertumbuhan ekonomi Malaysia amat tinggi.

    "Ekonomi Malaysia juga berkembang dengan baik, kita menjangkakan kadar pertumbuhan sebenar pada 2017 berkemungkinan akan lebih baik berbanding 2016," katanya.

    Pertumbuhan ekonomi yang positif juga selaras dengan jangkaan Bank Dunia bagi ekonomi negara baharu muncul dan ekonomi membangun (EMDE) iaitu tumbuh 4.5 peratus tahun ini dan 4.7 peratus pada 2019.

    Ekonomi Malaysia pada tiga suku pertama 2017 mempamerkan prestasi lebih baik daripada dijangkakan dengan Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) sebenar masing-masing berkembang pada 5.6 peratus, 5.8 peratus dan 6.2 peratus.

    Bulan lalu, Bank Dunia dalam laporan Prospek Ekonomi Global berkata, KDNK Malaysia dijangka berkembang pada 5.2 peratus tahun ini.

    Kose berkata, laporan itu memberi penekanan supaya semua ekonomi bersedia menghadapi pengulangan krisis ekonomi dan kemelesetan global dengan melaksanakan dasar yang perlu bagi mengurangkan impak.

    "Kami tidak melihat kemelesetan ekonomi akan berlaku dalam masa terdekat, namun persediaan untuk menghadapinya seharusnya dilaksanakan bagi memastikan sistem kewangan kekal mampan dan dasar yang dipraktikkan juga mampu merangsang ekonomi jika krisis berlaku," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bank Dunia Yakin Dasar Diamalkan Malaysia "