• Banjir: Pantau Risiko Tanah Runtuh

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+


    BINTANGOR: Cuaca tidak menentu, termasuk hujan lebat berterusan di Sarawak sejak empat hari lalu, bukan hanya mengakibatkan banjir tetapi juga mewujudkan risiko tanah runtuh.

    Berikutan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak melaksanakan pemantauan rapi di kawasan bukit serta cerun, terutama berhampiran petempatan penduduk sebagai langkah keselamatan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, berkata inisiatif itu juga perlu bagi memudahkan koordinasi penyaluran bantuan sekiranya keadaan memerlukan.

    "Di Bintangor, kita sudah bersiap sedia 100 peratus, khususnya dari segi kekuatan anggota dan aset logistik, termasuk bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela.

    "Aset berkenaan merangkumi kenderaan marin dan darat yang akan digerakkan pada bila-bila masa. Kita sudah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

    Malah, pegawai dan anggotanya turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, termasuk membuat pemeriksaan secara bergilir dalam tempoh tiga jam di lokasi berisiko banjir jika hujan lebat berterusan selama dua jam.

    "Kita juga sudah mengenal pasti lokasi berisiko banjir di kawasan ini. Misi utama kita ialah menjaga keselamatan orang awam dan mengelak kehilangan nyawa," katanya.

    Beliau juga menasihati penduduk yang mendiami kawasan tebing sungai supaya sentiasa berwaspada dengan peningkatan paras air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

    Selain itu, penduduk diminta agar lebih peka terhadap amaran bencana dikeluarkan pihak berkuasa, di samping memantau keluarga masing-masing, terutama kanak-kanak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

    "Tolong pastikan dokumen penting diletakkan di tempat selamat dan bersedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk.

    "Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati menggunakan media sosial, jangan menyebarkan laporan tidak sahih sehingga menimbulkan suasana panik dalam kalangan penduduk," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " Banjir: Pantau Risiko Tanah Runtuh "