• Banjir Bawa Rezeki Pemburu 'Mang'

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+
    Foto: Khalid Latip


    DARO: Banjir melanda Sarawak sejak empat hari lalu, ternyata membawa limpahan rezeki kepada segelintir penduduk, terutama pemburu 'mang' yang tinggal berhampiran kawasan muara Sungai Rajang.

    Ketika mangsa sibuk menyelamatkan harta benda, pemburu haiwan itu pula gigih mencari rezeki di kawasan berlumpur, khususnya lokasi banjir.

    Gusti Shahdan, 47, berkata musim tengkujuh, terutama selepas banjir surut, adalah masa paling sesuai mendapatkan haiwan bercangkerang itu yang akan keluar dari sarang.

    "Ia sukar diperoleh luar musim tengkujuh, dan akan keluar untuk bernafas apabila sarangnya ditakungi air. Pada waktu itulah, ia timbul di permukaan tanah dan mudah dikutip," katanya ketika ditemui di sini, pagi tadi.

    'Mang' atau nama saintifiknya, Thalassina Anomala hanya dapat ditemui di kawasan berpaya di Sarawak dan Sabah.

    Gusti berkata, permintaan tinggi membolehkan kegiatan memburu 'mang' menjadi rezeki nelayan kecil yang tidak dapat ke laut kerana ancaman ombak besar.

    Malah, keenakannya yang memiliki rupa seperti ketam juga menarik perhatian pengusaha restoran makanan laut untuk dijadikan hidangan eksotik, menyebabkan bekalan sentiasa tidak mencukupi.

    "Isinya seakan-akan ketam dan orang dulu-dulu percaya, ia sangat mujarab untuk mengubati penyakit asma," katanya.

    Bagi Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya itu, kegiatan mencari 'mang' menjanjikan pengalaman menarik jika dilakukan secara berkumpulan.

    "Setiap kali musim tengkujuh, saya pasti tidak akan melepaskan peluang balik ke Kampung Betanak semata-mata ingin bersama rakan memburu haiwan ini," katanya. - BH Online

  • No Comment to " Banjir Bawa Rezeki Pemburu 'Mang' "