• Bangunan Pencakar Langit Kayu Tertinggi Dunia Dibina Di Tokyo

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+

    TOKYO: Syarikat Sumitomo Forestry Co Ltd telah mengumumkan perancangan membina sebuah bangunan pencakar langit kayu tertinggi di dunia di Tokyo, dinamakan Menara W350, yang akan siap pada tahun 2041.

    Didirikan sempena ulang tahun ke-350 syarikat pembalakan dan pengurusan hutan itu, yang akan disambut pada tahun sama, bangunan itu dirancang dibina setinggi 350 meter dengan mempunyai 70 tingkat.

    "Projek itu dijangka menelan belanja dua kali ganda lebih tinggi daripada kos pembinaan bangunan pencakar langit konvensional, mengikut saiz yang sama, iaitu 600 bilion yen (RM22 bilion).

    "Matlamat utama projek berkenaan adalah membina bangunan tinggi yang mesra alam sekitar, diperbuat daripada kayu, bagi 'mentransformasikan bandar raya Tokyo menjadi hutan'," kata syarikat itu dalam satu kenyataan di laman webnya awal bulan ini.

    Menurut Sumitomo Forestry, bangunan tersebut akan dibina dengan hanya 10 peratus besi, manakala selebihnya akan digabung dengan 180,000 meter padu kayu asli.

    Menara W350 direka oleh pereka bangunan Nikkei Sensei dan akan dibina berdasarkan campuran keluli dan kayu untuk rasuk dan penyokong dalamannya, yang mampu menahan gegaran gempa bumi yang sering melanda negara tersebut.

    Bangunan tersebut akan menempatkan kedai, pejabat, hotel dan unit kediaman, sementara lakaran pereka menunjukkan balkoni yang luas dan dipenuhi tumbuhan hijau, taman di bumbung dan ruang dalaman yang terbuka.

    Setakat ini dilaporkan, bangunan kayu tertinggi ialah kediaman pelajar 18 tingkat di Vancouver setinggi 53 meter, unit kediaman 80 tingkat yang dirancang dibina di Chicago (244 meter) dan bangunan 18 tingkat di Norway dikenali sebagai Mjøsa Tower (80 meter) dijangka siap pada Mac 2019. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Bangunan Pencakar Langit Kayu Tertinggi Dunia Dibina Di Tokyo "