• Bangkai Pesawat Iran Terhempas Ditemui

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+


    TEHERAN – Pasukan keselamatan Iran berjaya menemui bangkai sebuah pesawat yang hilang bersama 66 orang dua hari lalu di kawasan pergunungan Zagros, menurut seorang jurucakap.

    Penerbangan EP3704 Aseman Airlines hilang di kawasan Banjaran Zagros pada pagi Ahad lalu, selepas kira-kira 45 minit berlepas dari Teheran.


    Selepas dua hari salji dan kabus, cuaca kembali pulih pada pagi semalam membolehkan unit helikopter mencari dalam keadaan lebih jelas.

    “Helikopter Kor Pengawal Revolusi Iran pada pagi ini (semalam) me­nemui bangkai pesawat di Gunung Dena,” kata jurucakap Ramezan Sharif kepada stesen penyiaran rasmi IRIB.

    Seorang pemberita IRIB yang bercakap dengan salah seorang juruterbang menyatakan, dia belum pernah melihat ‘mayat bergelimpangan di sekeliling pesawat’ seperti itu dan pesawat tersebut berada di perkampungan Noghol, kira-kira 4,000 meter di atas Gunung Dena.

    “Sejak semalam (kelmarin) dron Pengawal Revolusi memulakan penelitian kawasan geografi lokasi pesawat itu mungkin terhempas dan pagi ini, dua helikopter milik tentera udara dikerah di lokasi itu,” kata Ramezan.

    Kenderaan salji turut dihantar terlebih dahulu di puncak setinggi 4,409 meter, manakala lebih 100 petugas penyelamat turut membantu operasi mencari.

    Pesawat enjin berkembar ATR-72 itu yang digunakan sejak tahun 1993 berlepas pada pagi Ahad lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad ke bandar Yasuj, kira-kira 500 kilometer arah selatan Teheran.

    Aseman Airlines telah disenarai hitam oleh Suruhanjaya Eropah pada Disember 2016. – AFP/Kosmo

    Subjects:

  • No Comment to " Bangkai Pesawat Iran Terhempas Ditemui "