• Bahaya Aplikasi Sosial

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Sunday, 18 February 2018
    A- A+


    KEMAJUAN teknologi pada masa kini termasuk perkembangan pelbagai bentuk aplikasi serta media sosial sememangnya tidak dapat dielakkan berikutan sudah sebati dengan kehidupan generasi pada hari ini.

    Malah, penggunaan teknologi maklumat yang optimum juga turut memberi banyak kesan positif kepada kehidupan masyarakat di negara ini khususnya bagi aspek pengurangan kos dan masa dalam setiap urusan harian mereka.

    Namun, terdapat juga kesan-kesan negatif yang timbul ekoran daripada perkembangan teknologi serta aplikasi sosial ini kepada masyarakat malah turut memberi ancaman kepada pelajar sekolah.

    Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menerusi kenyataannya yang dipetik Utusan Malaysia sebelum ini dengan mengatakan bahawa kemajuan teknologi menyebabkan sebilangan pelajar sekolah aktif menggunakan medium aplikasi WhatsApp dan WeChat bagi membeli dadah secara atas talian.

    Selain itu, Mohamad Fuzi turut menjelaskan bahawa sejumlah 1,506 kes jenayah indeks direkodkan melibatkan pelajar sekolah dalam lingkungan umur tujuh hingga 18 tahun manakala 1,772 tangkapan telah dibuat sepanjang tahun lalu.

    “Dalam tempoh yang sama juga, sejumlah 469 kes tangkapan ke atas pelajar berkaitan jenayah narkotik turut direkodkan di mana dua tangkapan melibatkan murid sekolah rendah,” katanya.

    Jenayah melalui aplikasi sosial ini masih dapat dibendung menerusi pelaksanaan inisiatif beberapa program kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak sekolah.

    Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, PDRM juga dikatakan sentiasa menyusun langkah lebih kreatif berdasarkan jenis perlakuan jenayah yang berubah-ubah mengikut persekitaran sosial sesebuah sekolah.

    Walaupun permasalahan ini masih dapat dikawal, namun masyarakat tidak boleh alpa dan mengambil sikap lepas tangan memandangkan perkembangan teknologi pada masa kini dapat memberi ancaman pada bila-bila masa.

    Ibu bapa perlu kawal penggunaan aplikasi sosial

    Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memantau pergerakan anak-anak mereka khususnya dalam aspek penggunaan aplikasi sosial bagi menggelakkan kemudahan itu disalah guna bagi tujuan sebaliknya.

    Pakar Kriminologi Forensik & Pensyarah Program Sains Forensik, Managenement & Science University (MSU), Nadiah Syariani Md Shariff berkata, ibu bapa merupakan individu yang terdekat dengan golongan pelajar dan mereka mempunyai peranan besar bagi membendung masalah penyalahgunaan aplikasi sosial untuk tujuan pembelian dadah.

    “Oleh kerana golongan remaja dan pelajar sekolah adalah majoriti pengguna teknologi canggih, ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko untuk terbabit dalam aktiviti jenayah baik sebagai mangsa mahu pun pelaku.

    “Malah ibu bapa juga perlu mengenal pasti punca utama atau faktor kriminogenik yang menyebabkan seseorang remaja itu terlibat dengan dadah bagi memastikan permasalahan ini dapat diberi perhatian untuk tujuan rawatan dan rehabilitasi yang efektif dalam mengurangkan risiko relapse (penagihan semula),” katanya kepada Sinar Harian.

    Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nadiah berkata, perkembangan teknologi pada masa kini mewujudkan dunia tanpa sempadan di mana pengguna mempunyai akses bebas kepada sebarang maklumat di alam maya.

    Malah, Nadiah memaklumkan bahawa berdasarkan analisa trend pada masa kini secara jelas menunjukkan terdapat banyak kes jenayah fizikal mahu pun melibatkan harta benda dilakukan melalui alam siber seperti jenayah seksual kanak-kanak, ‘scam’, buli siber mahu pun ancaman keganasan (terrorism).

    “Sekiranya penglibatan seseorang remaja atau pelajar dalam jenayah mahu pun aktiviti delinkuen tidak dibendung dari awal, ini boleh mengubah mereka dari seorang juvana kepada karier jenayah (criminal career) yang membawa pada penglibatan jenayah lebih ‘advance’ apabila dewasa,” katanya.

    Dalam pada itu, Nadiah berkata, perkembangan teknologi tidak seharusnya disekat namun perlu dikawal dengan cara penggunaan yang betul dan berhemah bagi memastikan ia tidak disalah guna bagi tujuan jenayah.

    Beliau berkata, antara langkah kawalan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan menetapkan had masa atau waktu tertentu untuk anak-anak menggunakan gajet atau internet, serta menjelaskan tujuan penggunaannya lebih untuk pembelajaran.

    “Antara kawalan yang boleh dilakukan adalah dengan menguatkuasakan undang-undang dalam penggunaan teknologi dan media di samping menetapkan hukuman berat bagi pesalah yang menjalankan kegiatan jenayah melalui alam maya,” katanya.

    Tambahnya, usaha seperti kempen penggunaan teknologi secara bijak dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja juga perlu dilaksanakan supaya golongan ini lebih cakna terhadap modus operandi jenayah pada masa kini.

    “Ini adalah sebagai langkah untuk melindungi diri mereka daripada terjebak dan menjadi mangsa jenayah siber di samping menjadi platform alternatif buat para pelajar untuk menggunakan kemahiran mereka dalam teknologi bagi tujuan lebih baik dan mendatangkan manfaat,” katanya. -SH

    Subjects:

  • No Comment to " Bahaya Aplikasi Sosial "