• Azlan Muncul Pelumba Terpantas

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Azlan Shah Kamaruzaman mengekalkan momentum cemerlang selaku juara bertahan SuperSports 600cc apabila muncul pelumba terpantas pada hari pertama sesi ujian pramusim Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, semalam.

    Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu mendominasi ketiga-tiga sesi ujian dengan mencatatkan masa terpantas 1'38.936s mengatasi pelumba tuan rumah, Decha Kraisart (Yamaha Thailand Racing), 1'39.132s diikuti seorang lagi pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda) yang mencatatkan masa terbaik 1'39.190s.

    Menurut Azlan, beberapa perubahan yang dilakukan terhadap sistem suspensi jentera menjadi faktor utama yang membantunya mencatat masa terpantas di Buriram.

    "Masih banyak ruang yang boleh dipertingkatkan pada hari esok dan lebih penting dapat membantu saya untuk memenangi perlumbaan pertama musim ini."

    Rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira muncul pelumba keempat terpantas dengan masa 1'39.197s manakala Ratthapong Wilairot yang beralih ke pasukan Yamaha Thailand Racing Team kelima terpantas dengan masa 1'39.303s.

    Tomoyoshi Koyama yang kembali ke kelas SuperSports 600cc selepas semusim beraksi dalam kategori Asia Production 250cc, mencatat masa keenam terpantas diikuti Yuki Ito yang melakukan 1'39.968s.

    Taiga Hada, Andi Farid Izdihar dan Azroy Hakeem Anuar melengkapkan senarai 10 pelumba terpantas hari pertama.

    Sementara itu, kategori Asia Production 250cc dikuasai pelumba Thailand, Anupab Sarmoon (Yamaha Thailand Racing) yang mencatat rekod baru litar dengan masa 1'53.180s diikuti Rheza Danica Ahrens (Astra Honda Racing) 1'53.779s dan Peerapong Boonlert (Yamaha Thailand Racing), 1'54.124s.

    Dalam kategori Underbone 150cc, Md Amirul Ariff Musa muncul pelumba terbaik negara dengan catatan 2'02.371s manakala catatan terpantas milik Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) dengan 2'02.357s.

    Seorang lagi pelumba negara, Md Haziq Fairues (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia) muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 2'02.617s.

    Pelumba-pelumba Underbone 150cc memanfaatkan sesi ujian pramusim untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan tayar baru Dunlop yang digunakan musim ini dari jenis kompaun medium Moto3.

    Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu akan berlangsung pada 2 hingga 4 Mac di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.

    Keputusan Hari Pertama Sesi Ujian Pra-Musim:


    SS600cc

    1. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:38.936s

    2. Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:39.132s

    3. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Musashi Boon Siew Honda 1:39.190s

    4. Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:39.197s

    5. Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:39.303s


    AP250cc

    1. Anupab Sarmoon (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:53.180s

    2. Rheza Danica Ahrens (INA) Astra Honda Racing Team 1:53.779s

    3. Peerapong Boonlert (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:54.124s

    4. Mario Suryo Aji (INA) Astra Honda Racing Team 1:54.437s

    5. Muklada Sarapuech (THA) AP Honda Racing Thailand 1:54.559s


    Underbone 150cc

    1. Wahyu Aji Trilaksana (INA) Yamaha Racing Indonesia 2:02.357s

    2. Md Amirul Ariff Musa (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 2:02.371s

    3. Md Haziq Md Fairues (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:02.617s

    4. Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 2:02.892s

    5. Gupita Kresna (INA) Yamaha SND Factory 2:02.897s

    - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Azlan Muncul Pelumba Terpantas "