• Anjur Kelas Latihan Seks, Polis Thai Tahan 10 Warga Rusia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+


    BANGKOK: Polis Thailand pada Isnin telah menahan 10 warga Rusia kerana menjalankan kelas latihan seks untuk rakan senegara mereka di Pattaya.

    Menurut polis, antara mereka yang ditahan termasuk Alex Lesley, seorang individu yang mengaku dirinya sebagai 'guru seks'.

    Lesley, yang nama sebenarnya Alexander Kirillov, juga pernah menyatakan niat untuk bertanding jawatan presiden Rusia, untuk pilihan raya presiden negara itu bulan depan.

    Bagaimanapun polis Thailand memaklumkan, dia tidak didaftarkan sebagai calon presiden oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Rusia.

    Kesemua yang ditahan akan didakwa kerana bekerja di Thailand tanpa izin.

    Bagaimanapun, kata polis, mereka tidak akan didakwa kerana menjalankan kursus tersebut.

    Seorang dari mereka akan didakwa kerana tinggal melebihi tempoh, manakala tiga akan didakwa kerana memasuki negara itu secara haram.

    Polis berkata, kumpulan tersebut telah menjalankan kursus untuk lebih daripada 40 lelaki dan wanita Rusia di sebuah hotel di Pattaya.

    "Mereka terpaksa membayar lebih daripada 20,000 baht untuk kursus ini," kata ketua polis Pattaya Apichai Krobpet kepada Reuters.

    "Kami dakwa semua 10 pengajar kerana bekerja tanpa izin.

    "Mereka datang untuk mengajar seks kepada rakan senegara mereka ... namun kursus itu sendiri tidak menyalahi undang-undang," katanya lagi.

    Pihak polis turut memberitahu, wakil kedutaan Rusia di Bangkok kini berada di Pattaya untuk membantu Lesley. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Anjur Kelas Latihan Seks, Polis Thai Tahan 10 Warga Rusia "