• Anifah: Manila sahkan Sabah milik Malaysia

    Reporter: Admin
    Published: Saturday, 10 February 2018
    A- A+


    KOTA KINABALU: Manila meyakinkan kerajaan Malaysia bahawa mereka tidak berhasrat untuk membuat tuntutan ke atas Sabah, kata Menteri Luar Negeri Datuk Sri Anifah Aman semalam.

    Beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Filipina Alan Peter Cayetano bahawa kenyataan seorang bekas senator negaranya bulan lepas tidak mencerminkan pendirian kerajaan Filipina.

    Aquilino Pimentel Jr., seorang ahli jawatankuasa perundingan Filipina tentang meminda Perlembagaan 1987, pada 30 Januari lalu mahu mencadangkan Sabah dimasukkan sebagai salah satu negeri Filipina dalam peralihan negara itu kepada sistem kerajaan persekutuan.

    Anifah dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman segera menolak kenyataan itu dan berkata Putrajaya dan Sabah tidak mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina atau mana-mana negara lain.

    Manila berdiam diri selepas Pimentel membuat kenyataan itu.

    Bagaimanapun, Anifah semalam berkata Cayetano menjelaskan Manila tidak berkongsi pendirian Pimentel dalam perkara itu.

    “Sebenarnya saya tidak timbulkan isu itu apabila kami bertemu di Singapura 2 hari lepas,” kata Anifah kepada pemberita di acara Tahun Baru Cina di sini semalam.

    “Beliau yang mendekati saya dan menjelaskan kenyataan itu pandangan peribadi oleh orang yang mahu mempromosikan diri sendiri.

    “Saya rasa ini perkara biasa dalam semua masyarakat. Orang selalu membangkitkan isu sensitif supaya masyarakat beri perhatian pada mereka,” katanya.

    Tuntutan Filipina ke atas Sabah berdasarkan hujah yang mengatakan Syarikat Borneo Utara British tidak mempunyai hak kedaulatan, dan kerajaan British, semasa mengambil kuasa ke atas Sabah, tidak mendapatkan kedaulatan daripada Sepanyol bawah Protocol 1885 dan daripada Syarikat Borneo Utara British bawah Perjanjian Protektorat 1888.

    Mereka di Filipina yang berkata Sabah milik mereka mendakwa British hanya membuat tuntutan ke atas Borneo Utara, nama Sabah ketika itu, buat pertama kalinya pada 15 Julai 1946.

    Mereka juga mendakwa memandangkan kedaulatan ke atas Borneo Utara terletak pada Kesultanan Sulu, Perintah Penyerahan Borneo Utara 1946 oleh itu didapati secara tidak wajar memberikan hak kedaulatan pada British.

    Mereka berkata langkah British mengingkari kontrak cagaran 1878 yang sekadar menyerahkan hak pegangan pajak kawasan itu kepada Gustavus Baron de Overbeck dari Hong Kong dan Alfred Dent Esquire dari London yang bertindak selaku wakil sebuah syarikat British. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Anifah: Manila sahkan Sabah milik Malaysia "