• Anggota Polis Didakwa Raba Kemaluan, Peras Ugut

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+

    Konstabel polis berusia 29 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cabul dan peras ugut terhadap pasangan kekasih di Seri Iskandar, semalam.

    Anggota yang bertugas di Balai Polis Parit ditahan pada 9 malam selepas pihak polis menerima laporan dibuat pasangan yang juga pelajar sebuah pusat latihan kemahiran, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasangan kekasih berusia 20 tahun itu membuat laporan polis mendakwa diperas ugut RM700 oleh suspek, selain pelajar wanita terbabit turut dicabul.

    “Kejadian dipercayai berlaku apabila pasangan kekasih terbabit ditahan kerana didapati berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta di tepi jalan berkenaan.

    “Siasatan awal mendapati seorang anggota polis yang di luar waktu bertugas dan tanpa pakaian seragam dipercayai melalui kawasan terbabit bertindak memeriksa pasangan itu sebelum mendapati ada perlakuan salah.

    “Pasangan kekasih berkenaan diminta mengikut lelaki itu ke balai polis, namun sebaliknya suspek membawa mereka ke sebuah restoran bagi berbincang untuk menyelesaikan kes terbabit,” katanya.

    Menurutnya, anggota polis itu didakwa meminta RM700 daripada pasangan terbabit sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan dilakukan dan diberi tempoh dua minggu untuk membuat bayaran.

    Katanya, anggota polis berkenaan kemudian dikatakan menghantar pulang penuntut wanita terbabit ke pusat latihan kemahiran bersendirian menaiki kereta, dan didakwa bertindak meraba kemaluan wanita terbabit.

    “Berdasarkan maklumat, anggota polis berkenaan ditahan dan direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 dan 385 Kanun Keseksaan.

    “Pihak polis turut merampas kereta milik suspek untuk siasatan yang akan dibuat secara telus tanpa mengira siapa suspek yang didakwa melakukan jenayah termasuk pegawai atau anggota polis,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Anggota Polis Didakwa Raba Kemaluan, Peras Ugut "