• Anggap ‘Kojek’ Macam Keluarga

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 4 February 2018
    A- A+

    BANDUNG – Seorang lelaki menjadikan seekor buaya seberat 200 kilogram (kg) sebagai haiwan kesayangan dan memeliharanya di dalam rumah.

    Muhammad Iwan, 41, berkata, dia membeli buaya itu yang masih kecil dengan harga £1.31 (RM7.20) daripada seorang nelayan yang menangkapnya di Pantai Pangandaran pada 1997.

    Satu imej menunjukkan Iwan memandikan haiwan sepanjang 2.64 meter yang dinamakan Kojek itu di pekarangan rumahnya di Daerah Sempur, Jawa Barat, sementara anaknya berusia dua dan 10 tahun bermain hanya beberapa meter jauhnya.

    Menurut Iwan, buaya berusia 21 tahun itu benar-benar jinak dan tidak akan menyerang anak-anaknya.

    Ketika Iwan kali pertama membeli Kojek, ia hanya sepanjang 25 sentimeter dan hidup selesa di dalam akuarium bersaiz sederhana selain hanya diberikan makan ikan kap.

    Apabila ia semakin membesar, Iwan membelanjakan kira-kira £2.61 (RM14.30) seminggu bagi membeli ikan emas segar dan memberikan antara 1.5 kg hingga 5 kg ikan kepada Kojek setiap hari.

    Selepas kisah mengenainya tular di media sosial, pelancong dari Amerika, Australia dan Eropah berpusu-pusu datang ke rumah Iwan bagi melihat sendiri reptilia berkenaan.

    “Ketika Kojek masih kecil, ia agresif, malah pernah menggigit jari saya. Tetapi selepas memeliharanya di rumah ia menjadi jinak.

    “Ia memang nampak menakutkan, tetapi suka berinteraksi dengan manusia. Saya sukakan buaya dan mengambil berat terhadap Kojek. Mungkin ia menganggap saya bapanya. Dia haiwan yang baik,” kata Iwan.

    Tambahnya, dia akan membersihkan kolam haiwan itu seminggu sekali bagi menjaga kebersihan selain memberus kulit serta giginya.

    Bapa dua anak itu mendedahkan, dia pernah ditawarkan sehingga £52,300 (RM290,000) untuk menjual Kojek.

    Bagaimanapun, Iwan sudah menganggap haiwan kesayangannya itu sebahagian daripada keluarganya. – Agensi/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Anggap ‘Kojek’ Macam Keluarga "