• Anak Melayu Ketuai Dapur Halal Olimpik Musim Sejuk

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+


    SEOUL – Buat julung kali, anak Malaysia diberi penghormatan mengetuai penyediaan makanan halal sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 yang berlangsung di PyongChang, Korea Selatan.

    Shinsegae Food, selaku syarikat peneraju makanan terkemuka Korea Selatan dan pembekal rasmi temasya tersebut bakal menyediakan 20,000 hidangan setiap hari buat 5,000 atlet dari 96 negara dari 9 hingga 25 Februari.

    Sejarah baharu turut tercipta apabila kerajaan Korea Selatan secara rasmi memilih Malaysia untuk bekerjasama bagi menguruskan dapur halal buat kira-kira 170 atlet Muslim sepanjang sukan berprestij antarabangsa itu berlangsung.

    Penyediaan makanan oleh Chef Choi Jeongyong dari Shinsegae Food dan Chef Faizul Hazly Ghazali, dari Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd. turut mematuhi prosedur standard halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

    Ini kali pertama penyediaan makanan halal dipraktikkan sejak 70 tahun penganjuran sukan itu. Sepanjang temasya kali ini, Chef Faizul ditugaskan di stesen makanan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk, dibantu 15 chef tempatan.

    Beliau akan terlibat dalam penyediaan makanan 24 jam, bermula daripada sarapan pagi, makanan tengah hari, makan malam hingga makan tengah malam melalui dapur berasingan khusus untuk penyediaan makanan halal.

    Makanan halal itu termasuk sup lentil, kambing panggang, salmon panggang dan nasi beriani kukus. Bagi Chef Faizul, 39, ia adalah peluang keemasan paling bermakna dalam perkembangan karier dirinya.

    Dengan membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa, bapa tiga anak yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang masakan, ini menganggap pemilihannya satu tanggungjawab yang perlu digalas sebaiknya.

    “Ini perlu dipandang serius, terutama melibatkan isu halal dalam pelbagai aspek penyediaan makanan. Sebagai warga Malaysia, saya bangga menjadi rakyat Malaysia pertama memasak untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk.

    “Sebagai duta jenama makanan Malaysia, saya lihat ini peluang untuk belajar cita rasa latar belakang budaya berbeza terutama Korea dengan populariti makanan Korea makin meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

    “Juga peningkatan populariti Korea sebagai destinasi pelancongan untuk umat Islam, saya berharap dapat peluang memperjuangkan industri pengilangan makanan halal Korea apabila balik ke Malaysia pada Mac depan,” katanya.

    Bagi memastikan bekalan makanan di dapur halal adalah mencukupi, hampir 6,000 kilogram daging ayam serta ternakan lain dan makanan laut perlu disediakan daripada sejumlah pembekal halal dari serata tempat.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shinsegae Mamee, Vuitton Pang Hee Cheah melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Chef Mamee sebagai wakil Malaysia sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018.

    “Ini kali pertama wakil Malaysia dalam Olimpik Musim Sejuk. Memang kita berasa bangga ada wakil,” ujar beliau berharap ia menjadi titik tolak terhadap perkembangan makanan Korea halal untuk pasaran Muslim di Malaysia.

    “Apabila kita hantar wakil, kita turut mahu beliau dapat mempelajari masakan tradisional popular Korea yang aunthentic supaya dapat lagi dikembangkan bagi segmen pasaran konsumer Muslim di seluruh Malaysia.

    “Di mana-mana pun di Malaysia, memang tidak ada restoran Korea yang dijamin halal oleh pihak Jakim. Jika kita dapat membangunkan sos Korea yang halal, pasaran makanan ini akan menjadi lebih besar berbanding sekarang.

    “Kita mahu menjadi syarikat pertama yang perkenalkan makanan halal Korea untuk pasaran tempatan,” katanya. Menurutnya, kerjasama dengan pihak Jakim penting bagi memenuhi konsep ‘halalan toyiban‘ buat atlet Muslim.

    Secara tidak langsung menerusi penyediaan dapur halal pada Sukan Olimpik Musim Sejuk tersebut ia buat julung kali mengangkat jenama halal Malaysia ke persada antarabangsa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Anak Melayu Ketuai Dapur Halal Olimpik Musim Sejuk "