• Amerika Kata Israel Berbohong

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    BAITULMUQADDIS: Amerika Syarikat (AS) menyangkal kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa kedua-dua pihak sedang berbincang tentang kemungkinan Israel merampas tanah Palestin yang dijadikan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

    AS dalam tindakannya sema­lam, menunjukkan wujud ke­tidaksepakatan antara Netanyahu dan Pre­siden AS, Do­nald Trump yang jarang berlaku sebelum ini.

    Setelah disangkal, pejabat Netanyahu mengeluarkan ke­­­nyataan penjelasan untuk ‘menyelamatkan dirinya’ daripada dakwaan yang kontroversi itu.

    Sebelum ini, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengecam laporan perbincangan ber­kenaan yang disifatkannya sebagai mengesahkan komitmen Israel terhadap amalan apartheid,

    Jurucakap PLO, Saeb Erekat yang dipetik Al Jazeera sebagai berkata, sebarang langkah yang dilakukan secara sebelah pihak untuk merampas tanah Palestin jelas mencabuli hak Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri dan kemerdekaannya serta mengesahkan penglibatan AS dalam pelan penjajahan Israel.

    Katanya, ini mengesahkan bahawa status akhir isu-isu diputuskan secara sebelah pihak oleh Israel dengan koordinasi pentadbiran AS.

    Beliau berkata demikian itu selepas Netanyahu dipetik sebagai berkata bahawa beliau dalam perbincangan berkaitan penempatan haram Yahudi itu dengan pegawai AS.

    “Dalam isu untuk menguatkuasakan kedaulatan, boleh saya katakan bahawa saya sudah bercakap dengan pegawai Amerika tentang perkara ini beberapa kali,” kata Netanyahu kepada ahli Parlimen Likud.

    Netanyahu merujuk kepada usaha untuk menguatkuasakan undang-undang Israel ke atas pe­nempatan haram itu yang kini di bawah pentadbiran tentera Israel.

    Sejurus keluarnya kenyataan Netanyahu, White House tampil menafikan dakwaan pemimpin berkenaan.

    Jurucakap White House, Josh Raffel berkata, laporan yang me­ngatakan AS berbincang dengan Israel berhubung rancangan me­rampas tanah Tebing Barat adalah palsu.

    “AS tidak pernah membincangkan cadangan seperti itu,” katanya.

    Netanyahu berdepan dengan tekanan ahli-ahli politik sayap kanan supaya meluluskan rang undang-undang yang memboleh­kan penempatan Tebing Barat di letak di bawah kekuasaan regim Israel.

    Kelmarin, Netanyahu menyekat rang undang-undang untuk merampas penempatan yang dicadangkan ahli Parlimen berhaluan kanan dari Parti Likud.

    Sejak Israel menjajah Genting Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur pada tahun 1967, dianggarkan antara 600,000 hingga 700,000 peneroka ha­ram Yahudi tinggal di lebih 200 pe­nempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.

    Penempatan haram itu me­langgar undang-undang antarabangsa dan mencabuli Konvensyen Geneva yang menyatakan kuasa penjajah tidak boleh memindahkan penduduknya ke wi­layah yang ditaklukinya.-Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Amerika Kata Israel Berbohong "