• Akta Baharu : Tak Perlu Takut Jika Tak Buat Salah

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+


    Pakatan Harapan (PH) tidak perlu berasa tergugat dengan undang-undang baharu untuk mengekang berita palsu sekiranya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

    Menurut penganalisis politik, Dr Azmi Hassan, langkah kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menggubal undang-undang baharu ini merupakan satu langkah yang bijak.

    Ujar beliau, undang-undang sedia ada iaitu Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dilihat tidak lagi relevan dan mampu menangani masalah berkenaan.

    “Akta percetakan itu sudah lama, dan bila ianya mula ditubuhkan, media sosial masih belum ada pada masa itu.

    “Tetapi hari ini berubah, jadi sebab itu diperlukan satu akta baru khusus untuk menangani penularan berita yang berlaku di alam maya kerana pada ketika ini semua orang tidak kira wartawan atau rakyat biasa boleh menerbitkan pendapat mereka secara pantas dan dapat dibaca dengan cepat.

    “Kesannya, cepat sekali, sebab itu akta baru ini mesti menepati kehendak semasa,” kata Azmi dalam satu kenyataan.

    Sementara itu bagi Exco Puteri UMNO, Khaidhirah Abu Zahar, penggubalan akta untuk mengekang berita palsu merupakan satu mekanisme yang baik untuk dilaksanakan ujar.

    Ujar anak bekas Ketua Menteri Melaka itu, aktiviti-aktiviti penyebaran berita palsu ketika ini agak sukar untuk dikawal.

    “Yang penting adalah undang-undang yang ingin diwujudkan itu juga perlu diperincikan dengan baik dan gerak kerja yang baik serta ada juga tindak balas yang baik daripada semua pihak untuk memastikan akta itu berfungsi.

    “Jadi ianya merupakan satu mekanisme bagi memastikan negara kita terus maju dan rakyatnya dapat hidup dalam keadaan harmoni, aman dan tenang,” kata pelakon dan pengacara itu.

    Pada 30 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu di negara ini.

    Rang undang-undang berkaitan dijangka dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang.- BNBCC

    Subjects:

  • No Comment to " Akta Baharu : Tak Perlu Takut Jika Tak Buat Salah "