• Ajal pesakit mental selepas mengamuk

    Published: Sunday, 11 February 2018
    A- A+


    PESAKIT mental yang mengamuk dan mencederakan ibu saudaranya di Kampung Gaing, Pedas, Rembau meninggal dunia ketika dibawa anggota polis ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, semalam.

    Lelaki berusia 38 tahun terbabit sebelum itu dikatakan mengamuk dan memukul ibu saudaranya berusia 50-an di bahagian kepala menggunakan objek tumpul menyebabkan wanita itu cedera.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Asisten Superintendan Nazruel Ekram Abu Shari berkata, bapa lelaki itu menghubungi Balai Polis Pedas meminta bantuan pada 4.45 petang.

    Menurutnya, dua anggota polis yang ke lokasi menahan lelaki terbabit dan dibawa menaiki kereta peronda untuk dihantar ke HTJ bagi menerima rawatan, manakala bapanya mengekori kereta peronda di belakang.

    “Ketika dalam perjalanan, lelaki itu yang duduk di bahagian penumpang belakang bersama-sama seorang anggota hanya diam dan anggota kami menyangka sedang tidur. Namun, sebaik tiba di hospital dia masih tidak sedarkan diri.

    “Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia. Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod pesakit mental,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Nazruel berkata, mayatnya diserahkan ke Unit Forensik untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    Subjects:

  • No Comment to " Ajal pesakit mental selepas mengamuk "