• Agong Yakin Kerajaan Ada Kaedah Bantu Rakyat Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi Global

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yakin kerajaan akan dapat mengadakan kaedah baharu dan berinovatif bagi membantu rakyat menghadapi ekonomi global yang masih berada dalam keadaan tidak menentu.

    Baginda melahirkan rasa sukacita terhadap kerjasama pihak swasta dan badan bukan kerajaan dengan kerajaan dalam merealisasikan segala perancangan yang direncanakan untuk rakyat.

    "Sebagaimana kita semua maklum, keadaan keadaan ekonomi global masih lagi berada dalam keadaan tidak menentu. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan langsung kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah," titah baginda pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Hari Wilayah Persekutuan 2018 di Istana Negara di sini, hari ini.

    Baginda turut mengingatkan tentang kepentingan perpaduan dalam sesebuah negara dan berharap ia diperkukuhkan lagi.

    "Bagi negara Malaysia yang menyasar untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi sosial melalui Transformasi Nasional 2050, faktor persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama hendaklah dipupuk secukupnya demi kejayaan negara," titah baginda.

    Turut hadir pada istiadat itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

    Seri Paduka turut mengingatkan penjawat awam yang merupakan tulang belakang pentadbiran kerajaan agar mengutamakan integriti dalam menjalankan tugas bagi memastikan segala perancangan dan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

    Baginda berharap agar kecemerlangan pentadbiran Wilayah Persekutuan dapat diteruskan kerana ia menjadi contoh kepada Malaysia secara amnya.

    Seri Paduka turut menzahirkan rasa bersyukur kerana banyak inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan yang telah, sedang dan baru dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat wilayah itu.

    Titah baginda antara program yang membuahkan hasil ialah program Baiti Jannati, Kad Ceria, penggunaan produk biodegradasi, pemantapan jati diri, pencarian ikon remaja, gelandangan dan pengurusan air.

    Beta mengucapkan tahniah kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan seluruh warga Wilayah Persekutuan atas pencapaian yang cemerlang pada tahun 2017 baik dari segi program kepada rakyat mahupun tadbir urus organisasi itu sendiri.

    Insya-Allah dengan terus menggunakan pendekatan kreatif dan tuntas termasuklah pendekatan secara 'people centric' (berpaksikan rakyat) dan turun padang demi manfaat seluruh lapisan masyarakat tidak mengira kaum, agama dan keturunan, maka Wilayah Persekutuan terus masyhur mengekalkan kecemerlangan dengan kesejahteraan dinikmati hendaknya, titah baginda.

    Seramai 370 penerima dianugerahkan darjah kebesaran, bintang dan pingat pada istiadat hari ini.

    Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Tan Sri Samsudin Osman merupakan penerima tunggal darjah kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

    Seramai 22 individu dianugerahkan darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri manakala 69 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

    Sementara itu, 39 individu menerima anugerah Johan Mahkota Wilayah (JMW), Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) (71), Ahli Mahkota Wilayah (AMW) (74) dan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW) (94).

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Agong Yakin Kerajaan Ada Kaedah Bantu Rakyat Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi Global "