• Agihan Kerusi Perlu Selesai Jumaat Ini - Tun M

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+
    PETALING JAYA: Isu pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) perlu diselesaikan selewat-lewatnya Jumaat ini sebelum ia dimuktamadkan Majlis Presiden.

    Pengerusi PH yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata masih ada beberapa pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang belum dipersetujui parti dalam PH.

    "Kalau tak dapat selesaikan pada Jumaat ini kena beritahu ibu pejabat dan perkara itu akan diangkat kepada Majlis Presiden untuk ditentukan di peringkat pusat.

    "Segala keputusan selepas itu mesti diterima semua pihak dan setakat ini kita dah selesai (pembahagian kerusi) di empat buah negeri," katanya tetapi tidak menyatakan empat buah negeri dimaksudkan.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Galeri PPBM, Menara Yayasan Selangor di sini, hari ini.

    Yang hadir sama Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

    Masalah agihan kerusi dalam PH terutama di Selangor, berlaku di kawasan pengundi Melayu dan campuran yang menjadi rebutan PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM.

    Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar baru-baru ini berkata, PPBM boleh meminta seberapa banyak kerusi DUN yang mereka mahukan untuk bertanding di Selangor pada PRU-14.

    Namun katanya PH menetapkan, kriteria calon yang dipilih adalah berdasarkan faktor 'winnability' atau 'kemampuan untuk menang' bagi memastikan PH terus kekal mentadbir Selangor.

    Atas faktor berkenaan, PPBM mungkin tidak akan dapat meletakkan calon di semua 12 kerusi DUN milik BN di Selangor.

    Sebelum ini Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin, berkata PPBM akan mempertahankan permohonan 12 kerusi milik BN untuk diletakkan calon mereka walaupun PKR turut berhasrat meletakkan calon di semua kerusi terbabit.

    Sementara DAP pula yang menjadi parti terbesar dalam pakatan, mereka mendapat keutamaan untuk memilih kerusi. Setakat ini parti itu dikatakan akan bertanding di 35 kerusi kawasan majoriti Cina.

    Ketika ini, PKR menyandang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP (13), PAS (13), BN (12) dan Parti Amanah Negara (2).

    Dua DUN lagi adalah Bebas iaitu DUN Pelabuhan Klang dan Telok Datuk. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Agihan Kerusi Perlu Selesai Jumaat Ini - Tun M "