• ADUN PAS Perlu 'Hadap' Azmin Untuk Dapat Dana

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    SHAH ALAM: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS diarahkan berjumpa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bagi mendapatkan dana tahunan berjumlah RM800,000.

    Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata arahan itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

    "Kami akan berjumpa dengan beliau (Menteri Besar) sekiranya ini tindakan yang perlu dilakukan tetapi tidak akan merayu.

    "Menteri Besar perlu ingat ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri," katanya ketika ditemui sebelum memulakan mesyuarat di Ibu Pejabat PAS Selangor, di Seksyen 13, sebentar tadi.

    Sallehen berkata, pihaknya mendapat maklumat ada ADUN PAS yang berjumpa Mohamed Azmin sudah menerima wang berkenaan.

    Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan perkara itu dengan lebih lanjut.

    Mengulas berkenaan isu dana itu, beliau yang juga ADUN Sabak berkata, pihaknya akan menunggu sehingga 17 Februari ini sebelum mengambil sebarang tindakan.

    Katanya, beliau sendiri sudah menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada Mohamed Azmin untuk bertemu dan berbincang perkara itu.

    "Kami terima arahan untuk berjumpa beliau bagi membincangkan hal ini (dana) pada minggu ini," katanya.

    Sementara itu, Sallehen seolah-olah menempelak PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang sebelum ini menuduh PAS sebagai punca perbalahan Pakatan Harapan.

    Katanya, dengan apa yang terjadi ketika ini antara Mohamed Azmin selaku Timbalan Presiden PKR dengan Amanah jelas membuktikan PAS tidak bersalah.

    "Dahulu kata PAS punca perbalahan. Sekarang PAS tidak bersama, mereka tetap berbalah.

    "Kita tidak akan masuk campur rumahtangga mereka kerana sudah jangka akan berlaku, belum lagi apabila sudah dapat kuasa," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " ADUN PAS Perlu 'Hadap' Azmin Untuk Dapat Dana "